Home Ekonomi Pengeluaran getah Jun 2019 susut

Pengeluaran getah Jun 2019 susut

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia pada Jun 2019 ialah 36,957 tan metrik, menurun sebanyak 10.7 peratus berbanding 41,364 tan metrik yang direkodkan pada Jun 2018.

Perbandingan bulan ke bulan menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 16.9 peratus daripada 44,479 tan metrik pada Mei 2019.

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 54,547 tan metrik, menurun sebanyak 4.1 peratus berbanding 56,850 tan metrik pada Mei 2019.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, China merupakan destinasi utama getah asli dieksport iaitu 61.3 peratus daripada jumlah eksport pada Jun 2019 diikuti Jerman (9.8%), Amerika Syarikat (3.6%) Iran (3.4%) dan Korea (1.9%).

Stok getah asli yang direkodkan pada Jun 2019 ialah 165,596 tan metrik, menurun 6.4 peratus daripada 176,972 tan metrik pada Mei 2019.

Harga purata Lateks Pekat ialah 496.61 sen sekilogram pada Jun 2019, meningkat 2.5 peratus manakala harga purata Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M.20) menurun 0.3 peratus kepada 623.92 sen sekilogram berbanding dengan harga purata yang direkodkan pada Mei 2019.

Jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 38,791 tan metrik, pengurangan sebanyak 10.9 peratus berbanding 43,529 tan metrik yang dilaporkan pada Mei 2019.

Getah asli banyak digunakan dalam industri pembuatan sarung tangan getah dengan penggunaan sebanyak 28,817 tan metrik atau 74.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik. – MalaysiaGazette