KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia telah melancarkan petisyen untuk membantah caj perkhidmatan penumpang (PSC) tambahan RM23 untuk penumpang yang melakukan perjalanan di luar ASEAN daripada RM50 hingga RM73 seorang.
Pada waktu berita ini ditulis, petisyen itu, yang dilancarkan tengah malam tadi telah memperoleh 26,870 tandatangan.
“Kami membantah kenaikan ini dengan tidak mengutip caj tambahan RM23 itu daripada pelanggan,” kata syarikat penerbangan itu dalam petisyen berkenaan.
AirAsia berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) direka dan dikendalikan sebagai terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) dan penumpang tidak perlu membayar PSC yang sama seperti di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ) yang lebih lengkap dan mewah.
Syarikat penerbangan itu berkata, PSC tinggi adalah beban yang tidak adil kepada pengguna.
“PSC sentiasa lebih rendah di klia2, sehingga tahun 2018 apabila kadar itu meningkat dan disamakan atas sebab yang tidak diketahui.
“Kami percaya PSC yang tinggi akan menjejaskan pelancongan, menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Malaysia kurang menarik kepada pengunjung berbanding dengan destinasi lain,” kata AirAsia.
Untuk rekod, caj yang dibayar oleh penumpang di klia2 untuk penerbangan ke destinasi di luar ASEAN telah meningkat dua kali ganda sejak 2016.
Sehingga 31 Dis 2016, PSC dikenakan adalah RM32 seorang, tetapi bermula dari 1 Jan 2017, kadar itu dinaikkan kepada RM50 seorang.
Mulai 1 Julai tahun lepas, pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mengenakan PSC lebih tinggi iaitu RM73 seorang.
Di sebalik arahan itu, AirAsia enggan mengutip tambahan RM23 daripada pelanggannya untuk memastikan perjalanan udara kekal mampu untuk semua, dengan mengatakan ia percaya kenaikan PSC itu ‘tidak munasabah’.
Bagaimanapun, berikutan keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu akan mengutip PSC lebih tinggi untuk klia2 untuk tempahan penerbangan yang dibuat dari tengah malam tadi dengan bantahan, dengan jumlah perbezaan jelas dinyatakan dalam tambang terperinci sebagai ‘PSC (Di bawah Protes) ‘.
Dalam petisyen itu, ramai yang menyatakan tidak bersetuju, menyatakan PSC tidak adil dan terlalu membebankan.
Daniel Mishary berkata bekerja untuk sebuah pertubuhan amal memerlukannya melakukan perjalanan dengan menggunakan syarikat penerbangan tambang rendah. “Apabila kos pentadbiran meningkat dan ini secara automatik meningkatkan tambang udara, ia tidak lagi menepati tujuan untuk mempunyai penerbangan kos rendah lagi,” katanya.
Sementara itu, Wan Mohd Halimin Wan Ismail berkata “peningkatan caj itu memerlukan penjelasan yang munasabah supaya (isu) caj lebih tinggi yang hanya bertujuan untuk membuat keuntungan tidak timbul.
“Selain itu, banyak peningkatan kos telah ditanggung oleh pengguna.”
Seorang pempetisyen lain, Rosnizan Ismail, berkata “adalah beban bagi kami yang mempunyai banyak anak untuk menanggung kos yang lebih tinggi. Ini akan menambah beban orang berpendapatan rendah seperti kami,”. – MalaysiaGazette