Home Ekonomi Kerajaan pilih DreamEDGE hasilkan kereta nasional ketiga

Kerajaan pilih DreamEDGE hasilkan kereta nasional ketiga

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking (dua kanan) bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE Sdn Bhd, Khairil Adri Adnan (dua kiri) sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari (kiri) pada sidang media pengumuman Projek Kereta Nasional baharu di i-Tech Tower, Cyberjaya. foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2019.

CYBERJAYA- Kerajaan memilih sebuah syarikat tempatan sebagai “anchor company” untuk menghasilkan kereta nasional ketiga.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, DreamEDGE Sdn. Bhd. akan dibangunkan sepenuhnya di negara ini.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) meminta saya untuk melihat sendiri kemudahan di DreamEDGE kerana ia merupakan penggerak utama dalam industri ini.

“Objektif utama untuk membangunkan sebuah kereta nasional baharu  menggunakan sains, teknologi dan kejuruteraan terkini,” katanya semasa sidang media ketika mengumumkan projek kereta nasional terbaharu di sini hari ini.

Menurut Darell, kereta nasional baharu tersebut bakal  menggunakan teknologi eksklusif dan memasuki segmen baharu serta dihasilkan supaya dapat dimiliki oleh setiap golongan masyarakat.

DreamEDGE, syarikat yang terlibat dalam bidang teknologi dan inovasi itu akan mengeluarkan prototaip pertama pada Mac tahun depan, disusuli pelancaran model pertama setahun kemudian.

Model pertama yang dihasilkan dijangka sebuah kereta hibrid sedan yang berada di segmen C.

Tambah Darell, pemilihan DreamEDGE yang ditubuhkan sejak 2007 itu kerana ia memiliki kepakaran dalam pembangunan teknologi baharu berkaitan automatif.

Jelasnya lagi, sebuah anchor company perlu mempunyai ciri-ciri sebagai syarikat tempatan yang mempunyai bukti rekod kejayaan.

Ia juga mesti memiliki barisan jurutera pengalaman luas dalam teknologi terkini serta mempunyai keupayaan dan kejuruteraan produk, pembangunan dan proses rekaan.

Anchor company juga perlu mempunyai pengalaman dalam teknologi pengilangan baharu dan integrasi rekaan produk serta dibiayai swasta.

Beliau berkata, kereta nasional baharu itu akan menggunakan teknologi baharu dan akan ditawarkan pada harga yang berpatutan.

Tambah Darell, Daihatsu akan memberi sokongan teknologi dalam beberapa bidang berkaitan seperti penyediaan platform dan pembangunan enjin.

Selain itu ia turut membolehkan pemindahan teknologi dan kepakaran antara dua syarikat itu.

“Objektif kereta nasional baharu adalah membangunkan teknologi-baharu jimat tenaga dan menggunakan sistem hibrid, yang mana syarikat ini memiliki kepakaran untuk melaksanakannya,” katanya. – MalaysiaGazette