Home Nasional Sultan Muhammad V dimasyhur sebagai Canselor UiTM Sabtu ini

Sultan Muhammad V dimasyhur sebagai Canselor UiTM Sabtu ini

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V

SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bakal dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-5 pada Sabtu ini (15 April).

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, istiadat pemasyhuran akan berlangsung pada Istiadat Konvokesyen ke-86 universiti itu di kampus induk UiTM di sini.

“Sekalian warga UiTM menjunjung kasih dan merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pemasyhuran Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai Canselor UiTM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sultan Muhammad V menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Disember lepas.

Hassan berkata, Yang di-Pertuan Agong juga akan menyempurnakan sidang pertama istiadat konvokesyen yang menyaksikan seramai 500 graduan bakal menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Ijazah Sarjana masing-masing.

Menurut beliau, pada istiadat konvokesyen itu, seramai 28,618 graduan menerima penganugerahan, di mana daripada jumlah tersebut, seramai 91 graduan akan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (1,302), Diploma Lepasan Ijazah (62), Ijazah Sarjana Muda (13,812), Profesional (59) dan 13,292 graduan diploma.

Konvokesyen itu akan berlangsung dalam 11 sidang di Dewan Agung Tuanku Canselor Kampus UiTM di sini, empat sidang masing-masing di kampus UiTM Terengganu, UiTM Kelantan, UiTM Perak dan UiTM Kedah, tiga sidang di UiTM Pahang, UiTM Sabah dan UiTM Pulau Pinang, lima sidang di UiTM Sarawak dan Perlis, enam sidang di kampus UiTM Melaka dan sembilan sidang di UiTM Johor.

Seramai 11,431 graduan akan menerima penganugerahan di kampus UiTM di sini pada istiadat yang berlangsung selama enam hari bermula Sabtu.

Istiadat konvokesyen UiTM Pahang akan bermula dari 17 hingga 18 April melibatkan 1,074 graduan, UiTM Terengganu dari 18 hingga 19 April melibatkan 1,168 graduan, UiTM Melaka dari 25 hingga 27 April melibatkan 3,108 graduan, UiTM Kelantan dari 26 hingga 27 April melibatkan 1,291 graduan sementara di UiTM
Sabah pada 3 Mei melibatkan 795 graduan.

Seramai 1,545 graduan di UiTM Sarawak akan menerima ijazah dan diploma pada 3 hingga 4 Mei, 1,323 graduan di UiTM Pulau Pinang dan 2,155 graduan di UiTM Perak dari 8 hingga 9 Mei, 1,301 graduan di UiTM Perlis dari 15 hingga 16 Mei, 2,022 graduan di UiTM Johor dari 15 hingga 17 Mei dan 1,405 graduan di UiTM Kedah dari 16 hingga 17 Mei. – MalaysiaGazette