KUALA LUMPUR – Prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan lif termasuk lif Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedia ada adalah memadai ketika ini.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu kenyataan hari ini memberi maklumbalas berhubung pandangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai kekerapan pemeriksaan lif di Malaysia bagi mengelakan insiden tidak di ingini berlaku pada masa hadapan.
Menurut KSM, berdasarkan SOP sedia ada, setiap lif penumpang perlu direkabentuk, dibina dan dipasang berdasarkan spesifikasi kod rekabentuk antarabangsa yang diiktiraf oleh JKKP sebelum dibenarkan untuk beroperasi.
“Berdasarkan Peraturan-peraturan (Lif Letrik Penumpang-penumpang dan Barang-barang) Kilang dan Jentera 1970 adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan pemunya lif atau Joint Management Body (JMB) untuk melantik dan mengikat kontrak dengan Firma Yang Kompeten (FYK) dan Orang Yang Kompeten (OYK) yang diiktiraf oleh JKKP bagi menjalankan kerja penyelenggaraan.
“Secara spesifiknya . perundangan ini juga menetapkan OYK hendaklah memeriksa dengan sepenuhnya lif berkenaan sekurang-kurangnya sekali bagi setiap tiga bulan serta melakukan pelarasan dan penyelenggaraan pada setiap bulan.
“JMB juga sepanjang masa memastikan lif diselenggara mengikut jadual yang ditetapkan dan lif beroperasi dalam keadaan baik tanpa risiko kepada pengguna.
“Peruntukan Akta Kilang dan Jentera 1967 juga mewajibkan setiap lif penumpang hendaklah mempunyai Sijil Perakuan Kelayakan (Certification of Fitness/CF) yang dikeluarkan oleh JKKP setelah melalui proses semakan rekabentuk.
“CF ini sah untuk tempoh 15 bulan dan perlu proses pemeriksaan semula bagi tujun pembaharuan,” kata kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, kata KSM lagi, antara cabaran utama dalam memastikan pengurusan lif PPR beroperasi dengan baik dan selamat adalah isu kegagalan pemunya untuk melantik FY bagi melakukan penyelengaraan yang kebiasaannya disebabkan kekangan kewangan.
Jelasnya, isu penyelenggaraan yang sub-standard dengan penyalahgunaan, vandalisme dan pengunaan lif yang melangkaui spesifikasi rekabentuk yang ditetapkan.
Contohnya, lif penumpang digunakan untuk mengangkat objek yang bersaiz besar dan berat akan menggangu kelancaran operasi lif tersebut.
“Selain daripada melaksankan pemeriksaan berkala ke atas lif penumpang, promosi berkaitan pengunaan lif secara selamat serta JKKP juga melakukan pemeriksaan mengejut.
“Kita juga mengambil tindakkan punatif termasuk tindakkan kompoun dan pendakwaan ke atas pelanggaran perundagan termasuk berkaitan operasi lif penumpang.
“Bagi tempoh Jan 2018 sehingga Jun 2019 sebanyak 57 kes kompoun dan pendakwaan telah diambil terhadap pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pemilik dan firma penyelenggara lif dengan jumlah penalti sebanyak RM 103, 000.,” ujar KSM.
Dalam pada itu, KSM juga mengalu-alukan setiap pandangan serta kritikan yang dilontarkan oleh pelbagai pihak termasuk CAP berhubung pemeriksaan lif ketika ini.
“Kementerian juga mengalu-alukan cadangan dan insiatif semua pihak bagi memantapkan sistem penyelenggaran lif penumpang di negara ini terutama lif penumpang PPR supaya isu penyelengaraan lif di negara ini dapat ditangani secara yang holistik,” katanya lagi. –MalaysiaGazette