Home Nasional KDN beri Nanyang surat tunjuk sebab, panggil Ketua Pengarang

KDN beri Nanyang surat tunjuk sebab, panggil Ketua Pengarang

Nanyang Siang Pau

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memanggil Ketua Pengarang akhbar harian Nanyang Siang Pau Sdn. Bhd. (Nanyang Siang Pau) berikutan penyiaran karikatur menghina Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Anggota Parlimen Marang merangkap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, satu surat tunjuk sebab bertarikh hari ini telah dikeluarkan kepada akhbar harian berbahasa Cina itu mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau berkata, penerbit diberi tempoh tiga hari untuk menjawab surat tunjuk sebab.

“Tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan peraturan dan prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Alwi berkata, karikatur tersebut mungkin memudaratkan ketenteraman awam kerana menggalakkan perasaan niat jahat, perseteruan, permusuhan, kebencian dan prasangka buruk terhadap orang atau kaum lain.

“Ia juga secara tidak langsung seolah-olah telah mempersendakan Parlimen dan agama Islam kerana RUU 355 (Pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) 1965) yang digambarkan dalam karikatur itu adalah berkait dengan hal ehwal agama Islam,” katanya.

Pada 8 April lepas, akhbar berkenaan menyiarkan karikatur di portal mereka yang menggambarkan seekor monyet memakai songkok dan dilabelkan sebagai ‘speaker’ manakala seekor lagi monyet memakai serban dan diberi label `Hadi Awang’.

Kedua-dua monyet berkenaan digambarkan sedang bertenggek di atas dahan sebuah pokok yang diberi label ‘Akta 355’.

Nanyang Siang Pau dalam satu kenyataan semalam memohon maaf kepada Pandikar Amin dan Abdul Hadi berhubung penyiaran karikatur tersebut dan mengakui penyiaran karikatur itu adalah tidak wajar untuk tatapan umum.

Selain itu, Nanyang Siang Pau juga menarik balik karikatur sama yang disiarkan di laman berita Nanyang Siang Pau, iaitu eNanyang.my. – MalaysiaGazette