Home Nasional Jangan mansuh EAIC, perluas kuasa dakwaan

Jangan mansuh EAIC, perluas kuasa dakwaan

KUALA LUMPUR – Meskipun kerajaan mahu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) namun Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) masih perlu dikekalkan.

Bahkan kata Penyelaras Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet), bidang kuasa EAIC khususnya aspek pendakwaan terhadap agensi penguatkuasaan perlu diperluaskan.

“Madpet berpandangan EAIC sangat diperlukan, dan kuasanya juga harus diperluas untuk pendakwaan.

“Skop agensi yang diliputi oleh EAIC juga perlu dilanjutkan, termasuk juga meliputi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Penjara dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya,”katanya menerusi kenyataan.

Tahun lalu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata EAIC diubah kepada IPCMC yang bakal bertindak sebagai pemantau bebas yang holistik.

Jelasnya, EAIC yang berfungsi sebagai menangani aduan daripada pelbagai agensi penguatkuasaan, berbeza dengan IPCMC yang akan menyelesaikan kes daripada kalangan anggota polis.

“Walaupun IPCMC yang akan datang ditubuhkan menangani aduan terhadap anggota polis, EAIC kini menangani aduan terhadap hampir semua agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Imigresen, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perhubungan Perusahaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Alam Sekitar,”katanya lagi.

Untuk rekod, RUU IPCMC telah dibacakan untuk kali pertama pada sidang Dewan Rakyat yang lalu, dan dijangka akan mengalami perubahan selepas beberapa cadangan disuarakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, baru-baru ini.-MalaysiaGazette