Home Nasional Terminal Bersepadu Selatan kembali sesak

Terminal Bersepadu Selatan kembali sesak

Orang ramai beratur untuk mendapat tiket bas ke destinasi masing-masing selepas bercuti pada Hari Raya Aidiladha di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Setiap kali musim perayaan, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pastinya menjadi pilihan orang ramai bagi mendapatkan tiket bas ekspess untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Suasana kesesakan di kaunter-kaunter tiket di TBS ini lazimnya bermula seawal seminggu sebelum musim perayaan, lebih-lebih lagi Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina setiap tahun.

Bagaimanapun belum pun habis sambutan Hari Raya Aidiladha yang masuk hari kedua, hari ini, kaunter-kaunter bas di TBS kelihatan penuh dengan warga kota yang beratur panjang untuk mendapatkan tiket bas mereka.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati terdapat segelintir warga kota terpaksa menyambut Hari Raya Korban di saat akhir susulan ketiadaan tiket bas dan bergantung kepada pembelian tiket di kaunter semata-mata.

Akalili Izzati Hamidun
Temubual bersama penumpang, Akalili Izzati Hamidun di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 OGOS 2019.

Menurut Akalili Izzati Hamidun, 27, dari Segamat Johor, yang kini menetap di Shah Alam, dia bersama dua anak serta seorang adiknya terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan tiket bas ke Segamat, Johor di saat akhir.

“Saya orang Johor, sepatutnya saya balik semalam, saya terlepas hari raya pertama korban semalam.

“Ramai orang dekat TBS hari ini, takut juga tiket habis lagi, saya tak beli tiket online (dalam talian). Kalau tak tiket hari ini kena cari tiket lain untuk balik kampung.

“Balik kampung pun sebab keluarga ada buat ibadah korban (lembu) di masjid dekat kampung, saya memang ada bahagian untuk korban di sana,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lobi utama TBS, di sini, hari ini.

Zainuddin Ngah Rabu
Temubual bersama penumpang, Zainuddin Ngah Rabu di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 OGOS 2019.

Sementara itu, bagi Zainuddin Ngah Rabu, 46, dari Ipoh, Perak yang kini menetap di Ampang, Selangor, dia terpaksa menghantar anaknya pulang ke sebuah universiti tempatan di Melaka ekoran kekangan cuti.

“Saya nak hantar anak balik ke Melaka, anak hari ini sudah beli tiket dalam talian. Agak sukar jugak kita beli tiket, kita kena sahkan kaunter dan terminal mana dia nak naik bas nanti

“Tak timbul isu tiket habis, sesak hari ini mungkin orang baru nak dapatkan tiket di kaunter, kebanyakkan beli tiket secara manual,” katanya.

Ditanya tentang sambutan Hari Raya Korban tahun ini, Zainuddin mengakui perayaan kali ini tidak semeriah hari raya puasa, tambahan pula majikannya tidak memberikan cuti panjang kali ini.

“Kalau ikut kemeriahan itu, saya rasa Aidilfitri itu lebih meriah, raya korban ini kurang sikit meriah.

“Sebab kebetulan pun cuti tak banyak, anak pula kena balik hari ini sebab esok dah mula kuliah,” katanya.

Zarina Hassan
Temubual bersama penumpang, Zarina Hassan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 OGOS 2019.

Dalam pada itu, Zarina Hassan, 49, dari Kelantan yang kini menetap di Rawang pula mengakui terpaksa melepaskan anak perempuan lebih awal kerana pulang ke kolej pada hari raya kedua korban.

“Saya nak hantar anak ke Kuantan, cuti raya anak sehari saja, saya cuti sampai esok. Pada mulanya saya sampai TBS agak penuh (kaunter) juga laa.

“Mungkin masa ini kebanyakan orang ambil bas waktu petang, tempat letak kenderaan pun tiada, suami pun letak kereta di luar TBS.

“Nak ambil pas pelepasan pun sesak di sini, dekat 30 minit juga saya beratur, baru saja ambil pas pelepasan.

“Kalau boleh saya nak pergi pagi tadi tapi tiket pagi dah habis, yang saya dapat tiket pukul 2 petang saja itu beli melalui dalam talian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette