Home Nasional Sultan Selangor teliti RUU tukar agama

Sultan Selangor teliti RUU tukar agama

Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sedang meneliti usul rang undang-undang (RUU) penukaran agama anak sebelah pihak.

Menteri Besar, Amirudin Shari ketika mengesahkannya berkata usul itu juga akan dibincangkan dengan semua pihak, termasuk pimpinan Pakatan Harapan peringkat negeri dan pusat, sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Sultan Selangor teliti kembali pembentangan kertas tersebut. Kita juga harus rujuk Sultan Selangor kembali setelah buat konsultasi sepenuhnya dengan pemimpin parti Selangor dan persekutuan.

“Bukannya nama enakmen tukar agama, ia adalah enakmen pentadbiran Islam, ia menjurus kepada seluruh pentadbiran dan pengurusan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Shah Alam hari ini.

Menteri Besar itu sebelum ini dilaporkan bercadang meminda enakmen negeri menerusi RUU untuk membenarkan penukaran agama anak bawah umur secara sebelah pihak

Namun DAP Selangor menyatakan pendirian tidak akan menyokong RUU tersebut.

Amirudin juga bersyukur dengan sokongan yang disuarakan UMNO dan Pas berhubung perkara itu. -MalaysiaGazette