Home Nasional Skandal tanah di Pulau Pinang: SPRM tahan `Datuk Seri’ dan anak

Skandal tanah di Pulau Pinang: SPRM tahan `Datuk Seri’ dan anak

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang Datuk Seri dan anaknya bergelar Datuk bagi membantu siasatan skandal tanah yang melibatkan Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Berhad.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua mereka berusia 74 dan 47 tahun itu mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat pemaju hartanah terkemuka di Pulau
Pinang yang turut disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menurut kenyataan itu, mereka ditahan kira-kira pukul 7 malam, masing-masing di Pejabat SPRM Pulau Pinang dan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Kedua-dua suspek tersebut dipercayai telah menyalahgunakan kedudukan mereka dan menjual tanah milik anak syarikat yayasan tersebut tanpa melalui proses dan tatacara yang ditetapkan dengan harga yang jauh lebih rendah daripada harga asal.

“Perbuatan mereka dipercayai telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada anak syarikat milik yayasan tersebut sejak beberapa tahun lepas,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, tangkapan berkenaan merupakan susulan daripada siasatan SPRM yang telah menangkap seorang pemegang amanah yayasan tersebut di Pulau Pinang pada 29 Mac lepas kerana disyaki telah menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan diri sendiri.

Syarikat pemaju hartanah yang berpangkalan di Georgetown itu didapati telah membangunkan beberapa hartanah di sekitar Pulau Pinang termasuk di bandar Kepala Batas dan Tanjung Bungah, kata kenyataan itu.

Kedua-dua mereka merupakan pemegang jawatan syarikat itu masing-masing sebagai penasihat dan pengarah urusan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi berkata, kedua-duanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown esok untuk direman.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang
membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette