KUALA LUMPUR – Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bagaikan ditawan warga asing apabila terminal bas ekspres itu turut diwarnai wajah-wajah warga Bangladesh yang bekerja di negara ini.
Tinjauan MalaysiaGazette di terminal bas yang terletak Cheras itu mendapati hampir setiap barisan orang ramai di kaunter-kaunter bas ekspres pasti ada warga Bangladesh yang majoritinya bekerja di negara ini.
Menariknya mereka bukan sahaja membawa beg pakaian bahkan lebih mengejutkan turut memikul beberapa buah kipas meja.
Pada mulanya ketika didekati MalaysiaGazette, warga Bangladesh berkenaan cuba mengelak bagaimanapun akhirnya mereka sudi berborak dengan krew kami.
Menurut salah seorang daripada sekumpulan mat Bangla itu memberitahu mereka bukannya mahu berhari raya sebaliknya berpindah ke Johor Bharu.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, sebelum berpindah ke Johor Bharu kerana tuntutan pekerjaannya, dia bersama rakannya sempat menyambut Hari Raya Aidil Adha di ibu kota.
“Kita semua solat hari raya di masjid Kuala Lumpur, ada korban juga. Sekarang mahu pindah Johor Bharu dapat kerja baru di Senai.
“Bukan saya seorang tapi bersama empat kawan saya,” katanya yang ditemui MalaysiaGazette ketika berbaris di kaunter bas ekspress, di sini, hari ini.
MalaysiaGazette juga menemui seorang lagi warga Bangladesh ketika sedang duduk di lantai lobi utama TBS sementara menunggu basnya ke destinasi sama.
Enggan memberitahu namanya, Mat Bangla terbabit yang bekerja di sini hanya berkata dia hanya mahu balik ke rumah adiknya di Johor Bharu.
Ketika ditemui MalaysiaGazette, pihak kami terlihat dua tiket bas ekspress dan sebuah pasport luar negara yang dipegang mat Bangla berkenaan.
“Saya mahu balik bercuti ke rumah adik saya di Johor Bharu. Rabu balik Kuala Lumpur semula mahu kerja,” katanya.
Selain lobi utama TBS, MalaysiaGazette juga meninjau di bahagian atas terminal berkenaan dan mendapati warga Eropah, Taiwan dan China turut kelihatan menggunakan kemudahan di situ.
Sementara itu, keadaan trafik menuju TBS juga sejak pagi tadi agak tinggi kerana jumlah kenderaan semakin meningkat khususnya di laluan menurunkan penumpang di lobi utama.
Kesesakan itu dipercayai disumbangkan oleh jumlah kemasukan kenderaan e-hailing iaitu Grab yang tinggi menyebabkan ramai pemandu memotong barisan untuk ke tempat letak kenderaan di TBS. – MalaysiaGazette