KUALA LUMPUR – DAP didakwa fobia dengan anutan Islam yang kuat di negara ini menyebabkan kepimpinan parti itu dan rakan-rakan sekutunya merancakkan kempen menolak tulisan Jawi.
Sedangkan dahulu, tulisan Jawi diterima oleh semua kaum di negara ini tanpa dibahas sehingga mereka mampu menulis dan membaca dalam tulisan tersebut.
Malah, penerimaan itu telah menimbulkan keserian penuh kemeriahan untuk mengukuhkan hubungan kaum yang menjadi majoriti di negara ini, kata Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit.
Beliau mendakwa, DAP pernah mengeluarkan kata-kata sinis semasa kerajaan Kedah di bawah pimpinan Pas mahu
meletakkan papan tanda nama dan tempat dalam tulisan Jawi sebagai “semua itu bunga-bunga ke arah menggubal hukum hudud”.
Sedangkan, katanya, tulisan Jawi sepatutnya difahami dan dihayati sebagai satu medium pilihan utama rakyat yang perlu dimartabatkan.
Untuk menjadikan tulisan itu difahami dan dihayati oleh rakyat berbilang kaum, sewajarnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meluaskan penggunaan tulisan Jawi di bandar-bandar besar melalui pemasangan papan tanda nama-nama tempat.
“Sepatutnya demi menunjukkan komitmen Kerajaan PH yang berwajah baru, tulisan Jawi yang kian malap dalam kalangan generasi muda diangkat dan dijulang serta dimartabatkan setinggi-tingginya, biar rakyat merasakan kelainan dan perbezaan dengan kerajaan terdahulu.
“Tulisan Jawi biarlah difahami dan dihayati sebagai satu medium pilihan utama rakyat yang perlu dimartabatkan. Difahami dan dihayati oleh rakyat berbilang kaum, sepatutnya Kerajaan PH meluaskan penggunaan tulisan Jawi di bandar-bandar besar melalui pemasangan papan tanda nama-nama tempat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Sabri lagi, PH perlu melakukan perubahan yang diharapkan oleh rakyat, melalui agenda perkasakan warisan sejarah lampau yang masih utuh hingga kini seperti tulisan Jawi.
Namun, apabila tulisan Jawi mahu diterapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah, lantangnya suara menentang dan menolak begitu drastik sekali.
Malah, menteri-menteri yang dahulunya mempunyai suara keras lantang untuk mempertahankan segala bentuk yang berkait dengan Islam dan apa saja yang berkait dengan warisan ulama semua menyepi dan tidak berfungsi seperti sepatutnya. – MalaysiaGazette