Home Ekonomi Undang-undang ekonomi digital akan digubal semula

Undang-undang ekonomi digital akan digubal semula

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan menstruktur semula undang-undang berkaitan ekonomi digital yang sudah ketinggalan zaman bagi meningkatkan daya saing dan mengangkat potensi negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bagi membangunkan ekonomi digital ke peringkat seterusnya, beliau bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo akan menubuhkan jawatankuasa bersama kementerian untuk menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh syarikat yang terlibat dalam ruang pendigital di peringkat tertinggi.

Ini antara lain katanya akan membolehkan kerajaan mempercepatkan permohonan pelaburan dan pada masa yang sama menyelesaikan sebarang isu yang dibangkitkan oleh sektor swasta dengan lebih pantas.

“Ini menunjukkan ketinggian iltizam kerajaan terhadap pendigitalan ekonomi Malaysia.

“Melalui sesi ini, saya berharap kita dapat mengenal pasti jurang-jurang yang wujud dan bekerja sama untuk mempercepatkan pendigitalan ekonomi dan tingkatkan daya saing dan produktiviti,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan sempena Mesyuarat Kumpulan Fokus 2019: Menerima Ekonomi Digital hari ini.

Siri perbincangan kumpulan fokus itu adalah untuk mendapatkan saranan dan pandangan bagi Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan pada 11 Oktober depan.

Ini merupakan kumpulan fokus pertama diadakan di mana kesemua pemegang taruh akan berbincang mengenai ekonomi digital dan cara kerajaan untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi digital dan meningkatkan taraf hidup rakyat dan memenuhi agenda Kemakmuran Bersama.

Tambah Guan Eng, di antara 2010 dan 2018, ekonomi digital Malaysia telah berkembang sebanyak sembilan peratus dan perkembangan ini lebih rancak daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Kasar Negara.

Ekonomi digital katanya, bakal mewakili 20 peratus daripada keseluruhan ekonomi Malaysia, meningkat dua peratus berbanding 18 peratus yang direkodkan pada 2017.-MalaysiaGazette