Home Politik Bermati-matian sokong Dong Zong, DAP tunjuk belang sebenar

Bermati-matian sokong Dong Zong, DAP tunjuk belang sebenar

Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa polemik isu pembelajaran penulisan Jawi dan khat ditamatkan serta-merta.

Ini kerana Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya telah menghabiskan masa dan keringat selama hampir tiga
minggu melayan kerenah Dong Zong.

Masa dan keringat selama tiga minggu itu adalah bagus sekiranya disalurkan untuk membina ekonomi negara, membantu anak muda dan merealisasikan janji-janji Manifesto Pakatan Harapan, kata Ketua DPIM, Shahir Adnan.

Beliau berkata, DPIM turut kesal dengan kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia dan menterinya, Dr. Maszlee yang dilihat berlembut dengan isu pembelajaran penulisan Jawi dan khat sehingga keputusan demi keputusan mereka diperkotak-katikkan oleh Dong Zong melalui kenyataan balas yang angkuh.

Shahir berkata, walaupun pembelajaran penulisan Jawi dan khat kini menjadi pembelajaran pilihan dan dikurangkan bilangan muka surat daripada enam kepada hanya tiga muka surat, Dong Zong masih tidak berpuas hati hingga mendorong Tun Dr Mahathir Mohamad menggelar pertubuhan itu sebagai rasis.

Dari sudut politik, katanya, isu ini adalah “ujian litmus”  Dr Mahathir kepada pemimpin-pemimpin DAP.

“Isu sekecil ini, yang hanya melibatkan 3 muka surat penulisan asas Jawi dan kesenian khat telah menggegarkan pimpinan Pakatan Harapan dan menunjukkan belang sebenar pemimpin DAP.

“Slogan DAP Malaysian Malaysia hanyalah retorik politik. Pemimpin DAP bermati-matian menyokong Dong Zong walaupun sudah digelar rasis oleh Pengerusi Pakatan Harapan sendiri.

“Harus diingat, Dong Zong berusaha gigih untuk menentang dasar pendidikan satu aliran sekolah demi mempertahankan pendidikan bahasa ibunda Cina, di samping menuntut keadilan dan kesaksamaan status dan kedudukan antara semua kaum dan etnik,” katanya.

Lantaran itu, menurut Shahir, Pengerusi Pakatan Harapan itu tidak nyanyuk ketika menggelarkan Dong Zong rasis.

Jelas sekali, katanya, pemimpin DAP dangkal terhadap dasar-dasar untuk menyatupadukan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa Malaysia. – MalaysiaGazette