SEREMBAN- Sidang media berhubung hasil laporan bedah siasat mayat Nora Anne Quoirin, 15 ,dijangka dibuat sekitar pukul 5 petang ini.
Maklumat itu diberikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan sebentar tadi.
Sidang media itu akan diadakan di hadapan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar.
Ketika berita ini ditulis proses bedah siasat mayat Nora Anne masih dijalankan.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan maklumat sama ada Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor atau Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop yang akan mengendalikan sidang media itu.
Terdahulu Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Che Zakaria Othman berkata, proses bedah siasat yang bermula pagi ini akan mengambil masa lebih tiga jam tanpa memberikan waktu tepat.
Patalogi Kanan Hospital Kuala Lumpur kelihatan tiba pada jam 9.05 pagi tadi untuk mengetuai pasukan autopsi menjalankan bedah siasat ke atas mayat Nora.
Nora Anne datang bercuti ke The Dusun dekat Pantai, Seremban bersama keluarganya pada 3 Ogos lalu .
Remaja itu kemudian dilaporkan hilang pada keesokan harinya.
Selepas pencarian selama 10 hari mayat Nora ditemui semalam dalam keadaan tanpa pakaian kira kira 2.5 kilometer dari tempat penginapannya.
Proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian Nora menarik liputan media tempatan dan antarabangsa yang berkumpul sejak 7 pagi lagi di hadapan hospital berkenaan untuk mendapatkan perkembangan terbaharu.
Beberapa orang pegawai Jabatan Kimia dari Petaling Jaya baru sahaja meninggalkan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Seremban pukul 2.40 petang tadi. – MalaysiaGazette