Home Utama Masih belum ada jawapan punca kematian Nora Anne

Masih belum ada jawapan punca kematian Nora Anne

Pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur menaiki kenderaan selepas proses bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OGOS 2019.

SEREMBAN – Pakar patalogi, Dr Siow Chui Feng bersama dua pegawai meninggalkan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar kira-kira pukul 9.25 malam, namun usaha kumpulan wartawan yang menunggu sejak awal pagi tadi untuk mendapatkan ulasan daripada mereka gagal.

Dr Siow yang didatang khas dari Hospital Kuala Lumpur memulakan bedah siasat ke atas mayat Nora Anne Quoirin, kira-kira pukul 11.45 pagi tadi bersama-sama Dr Hanif Mohammad dari Hospital Tuanku Ja’afar dengan dibantu pegawai Kimia, DNA dan Forensik dari Petaling Jaya, Noor Aidura Saadon dan Sufian Arshad Mohammad.

MGF140819_BEDAH SIASAT NORA ANNE17
Pasukan pakar patologi selesai proses bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OGOS 2019.

Namun selepas hampir 10 jam, masih ada belum jawapan mengenai punca sebenar kematian remaja warga Ireland yang berusia 15 tahun itu dan mayatnya ditemui dalam keadaan tidak berpakaian kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun di sini semalam.

MGF140819_BEDAH SIASAT NORA ANNE19
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman bercakap kepada media semasa proses bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OGOS 2019.

Nora Anne bersama ibu, bapa dan dua adik tiba untuk percutian dua minggu pada 3 Ogos lalu dan dilaporkan hilang dari bilik keesokan harinya.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman ketika bercakap dalam sidang media terakhir untuk hari ini berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang keputusan bedah siasat.

“Laporan bedah siasat telah dijalankan sjak 11.45 pagi lagi dan masih diteruskan. Oleh itu sehingga kini kita masih belum menerima keputusan sebab sebab kematian (Nora).

“Malah saya juga tidak dapat memastikan sehingga jam berapa bedah siasat akan dijalankan.

“Ini sahaja saya dapat maklumkan kepada anda (media) tentang perkembangan bedah siasat,” katanya yang sebelum itu memberitahu sidang media akan diadakan pada pukul 5 petang dan kemudiannya ditunda ke pukul 8 malam.

MGF140819_BEDAH SIASAT NORA ANNE16
Petugas media sewaktu menunggu sidang media perkembangan proses bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anane Quoirin di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OGOS 2019.

Kira-kira 60 pengamal media tempatan dan antarabangsa menunggu sejak awal pagi untuk mengetahui perkembangan terkini di sebalik kematian Nora Anne yang mayatnya disahkan oleh Maebh Jaseprine Quoirin dan suaminya, Sebastian Marie Philipe malam semalam.

Mengulas lanjut Che Zakaria berkata, beliau menerima arahan daripada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop supaya membuat satu lagi pengumuman media esok.

MGF14082019_FORENSIK STJ22
Pegawai dan anggota polis dari Perancis, Ireland dan England dilihat memasuki perkarangan bilik forensik bagi mengikuti perkembangan proses bedah siasat remaja warga Ireland, Nora Anne Qouirin di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 14 OGOS 2019.

“Waktu dan masa akan dimaklumkan kepada anda kemudian,” tegasnya sebelum masuk semula ke jabatan forensik.

Senior Patalogi HKL itu hadir ke Jabatan Perubatan Forensik 9.05 pagi tadi menaiki kenderaan pacuan empat roda hospital Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette