PUTRAJAYA – Pemilik resort di seluruh negara mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan keselamatan pelancong yang datang ke premisnya.
Justeru Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, semua pengusaha-pengusaha rumah penginapan dan resort perlu mengambil insiatif sendiri untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV).
“Sebenarnya ini adalah ‘common sense’ kalau nak buat, nak usahakan penginapan, mahu orang duduk di tempat, jadi kena ada CCTV.
“Tidak perlu kerajaan beritahu kena pasang, tapi kan kamu (pengusaha rumah penginapan dan resort) mahu orang menginap di premis mereka, kalau tidak bermakna pihak pengusaha dikira mengabaikan keselamatan nyawa pelanggan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kejadian yang menimpa Nora Anne Quoirin, remaja warga Ireland yang ditemui mati di kawasan berdekatan sebuah resort di Pantai, Negeri Sembilan selepas hilang sejak 10 hari.
Resort itu dilaporkan tidak mempunyai CCTV.
Mengulas lanjut Mohamaddin berkata, tiada jaminan untuk pelancong yang datang ke Malaysia sentiasa selamat daripada insiden yang tidak diingini.
Namun, katanya, kerajaan tidak pernah mengabaikan aspek keselamatan pelancong.
Beliau juga yakin kejadian yang berlaku baru-baru ini tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong.
“Kita melihat perkara yang berlaku tidak akan jejas pelancong datang ke Malaysia. Tapi sebetulnya perkara-perkara sebegini berlaku di mana-mana bukan bermakna kita leka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian itu Datuk Isham Ishak berkata, pengarah pelancongan di setiap negeri telah diarah membuat pemantauan di setiap premis penginapan termasuk resort untuk melihat tahap pematuhan keselamatan yang ditetapkan.
Walaubagaimanapun, katanya, ketetapan pemasangan CCTV tambahnya adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Dari segi kementerian kita hanya tetapkan taraf bintang, tapi untuk pemasangan CCTV ditetapkan oleh PBT bagi mana-mana rumah penginapan yang ingin memohon lesen,” jelasnya.- MalaysiaGazette