Home Utama Mayat Nora Anne masih belum dituntut keluarga

Mayat Nora Anne masih belum dituntut keluarga

Sebahagian petugas media yang masih menunggu perkembangan proses bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 15 OGOS 2019.

SEREMBAN – Setakat jam 8 malam ini, mayat mendiang warga Ireland, Nora Anne Quoirin, masih tidak dituntut oleh keluarga remaja itu meskipun laporan bedah siasatnya sudah diumumkan oleh pihak polis, petang tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette di luar pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) sejak 8 pagi tadi hingga kini mendapati tidak kelihatan kelibat ahli keluarga Nora Anne datang untuk berbuat demikian.

Terdahulu Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dalam sidang media khas hari ini berkata, ahli keluarga Nora Anne boleh menuntut jenazah remaja itu pada bila-bila masa sahaja.

MGF15082019_KES NORA ANNE01
Keadaan lengang sekitar Jabatan Perubatan Forensik selepas petugas media meninggalkan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban berikutan kes warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang mayatnya ditemui 2.5 kilometer dari resort penginapan di Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 15 OGOS 2019.

Ia susulan proses bedah siasat yang dijalankan pakar Patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan HTJ lebih 10 jam dari jam 11.45 pagi hingga 9 malam semalam telah selesai dijalankan.

Terdahulu proses bedah siasat itu dikendalikan oleh pakar Patologi HKL, Dr Siew Sheue Feng bersama Dr Hanif Mohammad dari HTJ.

Ia turut dibantu oleh pihak Jabatan Kimia dan Jabatan Forensik Petaling Jaya iaitu Dr Aidora Saedon dan Sufian Arshad Ahmad.

Dalam perkembangan sama, MalaysiaGazette dimaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menziarahi keluarga Nora Anne di Villa The Dusun, Pantai, di sini, esok.

Mayat Nora Anne ditemui Selasa lalu dalam keadaan tidak berpakaian di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan remaja itu dan keluarganya. – MalaysiaGazette