Home Nasional Orang ramai yang isi butiran peribadi guna domain JTKSM diminta lapor polis

Orang ramai yang isi butiran peribadi guna domain JTKSM diminta lapor polis

Kuala Lumpur – Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) memandang serius mengenai mesej tular dipercayai cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri maklumat peribadi orang ramai dengan menggunakan domain Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan logo KWPSM sejak kelmarin.

Pesanan yang tular menerusi aplikasi Whatsapp serta email tersebut mendakwa orang ramai yang telah bekerja antara tahun 1990 sehingga 2019 boleh menuntut wang tunai sebanyak RM8,500 daripada kerajaan dengan hanya mengisi borang menerusi pautan yang disertakan.

Justeru, KWPSM telah membuat satu laporan kepada Sekuriti Siber Malaysia agar pesanan itu dapat disekat daripada terus tersebar, sekali gus mengelakkan lebih ramai pihak terpedaya dengan penipuan tersebut.

Di samping itu, KWPSM menyeru orang ramai yang telah mengisi butiran peribadi mereka menerusi pesanan tersebut agar membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya tindakan dapat diambil terhadap dalang perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan. – MalaysiaGazette