Home Nasional Lima penyelidik dapat Geran Penyelidikan Anugerah Merdeka

Lima penyelidik dapat Geran Penyelidikan Anugerah Merdeka

Sultan Nazrin Shah dan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (lima, kiri), Edward Graham (empat, kiri) dan Hilmi Yusof (tiga, kiri) bergambar kenangan dengan para penerima Geran Penyelidikan Penempatan Antarabangsa 2019 di Malaysian Petroleum Club, Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 OGOS 2019

KUALA LUMPUR- Sultan Perak, Raja Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Geran Penyelidikan Anugerah Merdeka Penempatan Antarabangsa 2019 kepada lima penyelidik yang berjaya mengemukakan kertas cadangan penyelidikan paling cemerlang.

Antara penerima geran tersebut adalah Pensyarah kanan dari Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Azri Ab Rani yang menghasilkan penyelidikan berkaitan bateri masa depan bagi kategori kesihatan, sains dan teknologi.

MGF16082019_MERDEKA AWARD GRANT 201908
Sultan Nazrin Shah berkenan beramah mesra dengan lima penerima Geran Penyelidikan Penempatan Antarabangsa 2019 di Malaysian Petroleum Club, Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 OGOS 2019

Dua lagi penerima ialah penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) Universiti Teknologi Petronas, Feng Ying Xing serta pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Sumber Mineral dan Bahan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Yanny Marliana Baba Ismail.

Ying Xing memfokuskan penyelidikan berkaitan model pembelajaran bagi meningkatkan prestasi kognitif, sementara Yanny, menumpukan kajian kepada bahan yang mempercepat penyembuhan tulang.

Geran kategori alam sekitar dianugerahkan kepada Pengurus Penyelidikan Projek, Program Karnivor Borneo, Christian R Gomez yang memfokuskan penyelidikan pemuliharaan haiwan terancam.

Sementara itu, usahawan sosial Juliana Ooi Sue May menerima geran penyelidikan bagi kategori pendidikan dan komuniti dengan penyelidikan tertumpu kepada memperkasa ibu bapa muda dalam pendidikan kesihatan sosial dan reproduktif.

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin yang juga Penaung Diraja Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka berkata,
para penerima geran perlu mengumpulkan pandangan berharga yang diperoleh kelak untuk manfaat penyelidikan, selain mencari penyelesaian kepada masalah rakyat.

“Penguasaan dan penerapan ilmu menerusi penyelidikan ialah pembolehubah yang hebat. Jika diguna secara bijak, ia dapat menggalakkan kemajuan ekonomi, pembangunan sosial dan perpaduan serta keharmonian,” titahnya.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Presiden Penerokaan dan Pengeluaran ExxonMobil Malaysia Inc, Edward E Graham serta Pengarah Kewangan Shell, Hilmi Yusof.

Para penerima geran akan menerima bantuan kewangan bagi penempatan jangka pendek dan mereka boleh memilih untuk mengikuti projek atau program kerjasama di institusi, syarikat, agensi serta organisasi yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa selama tiga bulan.

Geran Penyelidikan Anugerah Merdeka Penempatan Antarabangsa dilancarkan pada 2012 sebagai program khas menerusi kelolaan Anugerah Merdeka.

Sehingga kini, seramai 14 anak muda berusia 22 hingga 35 tahun menerima geran itu dengan 11 daripadanya menamatkan program penempatan antarabangsa.- MalaysiaGazette