Home Politik Pas sedia berdepan tuduhan Rafizi – Mohd Amar

Pas sedia berdepan tuduhan Rafizi – Mohd Amar

Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengatakan mereka sedia berdepan dengan pendedahan yang bakal dibuat oleh Rafizi Ramli berhubung tuduhan menerima sejumlah dana daripada pihak kerajaan.

Mohd. Amar mengalu-alukan tindakan Rafizi yang mahu membuat pendedahan itu esok dan mahu melihat sejauh mana kebenaran terhadap dakwaan dibuat oleh Naib Presiden PKR itu.

“Kalau betul dia nak sebut siapa orangnya yang dimaksudkan, baguslah, kita tunggu dan lihat nanti,” kata beliau dipetik semasa sidang media di Kota Bharu hari ini.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu meragui tuduhan yang bakal dibuat oleh Rafizi dengan banyak dakwaannya sebelum ini tidak boleh dipakai kerana sekadar mahu meraih populariti.

“Ingat balik rekod dia, kenyataan dia, dengar boleh, tapi tidak boleh pakai.

“Pada pandangan saya, dia sengaja buat, sama ada nak populariti ke apa ke, saya tidak pasti. Tapi kita tengok balik rekod dia lah, tidak berapa baik. Kalau kita respon pun, buang masa,” katanya.

Rafizi yang mendakwa Pas menerima wang daripada 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Individu yang menerima dana itu masih belum didedahkan, bagaimanapun ia dibayangkan sebagai bekas pemimpin kanan parti itu.

Rafizi juga akan mengadakan satu sidang media untuk mendedahkan nama individu tersebut. – MalaysiaGazette