KUALA LUMPUR – Pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan tetap akan ke temasya Sukan SEA 2019 di Filipina apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bersetuju menyenaraikan namanya dalam kategori B dalam acara 4×100 meter (m).
Jawatankuasa Pemilihan KOM yang bermesyuarat di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini secara rambang meletakkan nama pemenang pingat emas acara reben biru, 100m bagi edisi 2017 di Kuala Lumpur itu dalam kuartet 4x100m bersama Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Zulfikar Ismail dan Nixon Kennedy.
Ketua Jurulatih Olahraga, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, keputusan itu juga membuka ruang untuk Khairul Hafiz kembali beraksi dalam acara 100m namun keputusan rasmi hanya akan diketahui dalam mesyuarat jawatankuasa yang akan dibuat dalam waktu terdekat.
“Kami letakkan nama itu (Khairul Hafiz) dalam senarai kategori B dulu termasuk beberapa orang yang terbaik dalam ranking 100m negara. Semuanya diletakkan untuk acara 4x100m dulu sebagai fokus kami yang utama. Tetapi peluang tetap ada untuk dia beraksi dalam acara 100m bersama Jonathan Nyepa yang sudah layak.
“Senarai ini hanya untuk diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana penyertaan atlet dan nama perlu sampai ke penganjur Sukan SEA sebelum 2 Sept,” katanya dalam sidang media pengumuman senarai atlet olahraga ke Sukan SEA Filipina di Stadium Mini MSN di sini, hari ini.
Atlet yang dikenali sebagai ‘The Seedy Jantan’ itu tetap disenaraikan dalam kategori B meskipun dia gagal mencapai syarat kelayakan 10.43s untuk ke Sukan SEA bagi acara 100m selepas hanya mendapat kedudukan kedua dengan catatan masa 10.71s dalam Kejohanan Olahraga KOM 2019 Jumaat lalu.
Kegagalan tersebut sekali gus menyebabkan atlet berusia 22 tahun itu gagal layak secara merit ke Sukan SEA Filipina.
Begitu juga dengan nasib yang menimpa ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli apabila namanya hanya disenaraikan dalam kategori B bagi acara 4x100m.
Sementara itu, Presiden KOM, Datuk SM Muthu mengharapkan pencapaian daripada atlet olahraga tahun ini mampu mengatasi pencapaian di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
“Memang sasaran emas kita tahun ini hanya lima pingat emas berbanding kejayaan lapan emas di KL, tetapi saya tetap mengharapkan kesemua atlet kali ini mampu melakukan yang terbaik dan mencapai lebih lagi,” katanya.
Seramai 18 atlet lelaki dan lapan wanita disenaraikan dalam kategori A serta 10 lelaki dan lapan wanita disenaraikan dalam kategori B.
Berikut adalah senarai atlet olahraga yang layak ke Sukan SEA Filipina dalam kategori A dan B:
KATEGORI A
LELAKI
Jonathan Nyepa (100m)
Russel Alexander Nasir Taib (200m)
Luqmanul Hakim Khairul Akmal (400m)
Royson A.L. Vincent (800m)
Rayzamshah Wan Sofian (110 lari berpagar)
Mohd Harith Khairul Harun (20km jalan kaki)
Anura@Anuar Andre (lompat jauh)
Mohd Hakimi Ismail (lompat kijang)
Lee Hup Wei , Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi)
Mohd Ziyad Zulkifli (lontar peluru)
Mohd Irfan Shamsuddin, Abdul Rahman Lee (lempar cakera)
Jackie Wong Siew Cheer (baling tukul besi)
Muhammad Ilham Suhaimi, Abdul Wafiy Roslan, Mohd Saiful Safwan (4x400m)
Muhaizar Mohammad (marathon)
WANITA
Shereen Vallabouy (400m)
Elena Goh Ling Wing (10,000m jalan kaki dan 20km jalan kaki)
Nurul Alyahaziqah (10,000m jalan kaki)
Kirthana Ramasamy (lompat kijang)
Norliyana Kamaruddin (lompat tinggi dan hepthathlon)
Yap Sean Yee (lompat tinggi)
Choo Kang Ni (lempar cakera)
Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi) – Bernama