Home Nasional Selangor tumpu tiga entiti terdedah gejala rasuah – Amirudin

Selangor tumpu tiga entiti terdedah gejala rasuah – Amirudin

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam sidang media bersamai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya selepas Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 19 OGOS 2019

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor konsisten dalam menangani dan mencegah gejala rasuah melibatkan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), anggota Exco, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata, sebelum pihaknya meminta semua yang terlibat mengisytiharkan harga, kerajaan negeri terlebih dahulu akan memastikan segala prosedurnya lengkap.

Katanya, ketika ini kerajaan negeri menumpukan kepada tiga entiti yang dilihat mempunyai kesan besar dengan gejala rasuah iaitu syarikat milik kerajaan (GLC),  Exco Kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN).

“Tiga entiti ini mempunyai impak atau kesan yang agak besar dalam perolehan dan sebagainya.

“Jadi, kita telah mewajibkan semua mereka termasuk Ahli Lembaga Pengarah, pegawai kanan dan anggota Exco untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

“Dalam dokumen ini menyatakan mereka bebas dari sebarang kaitan dengan keputusan yang dibuat dan rasuah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah bersama Menteri Besar Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Menurut Amirudin, selepas ini kerajaan negeri akan semua Majlis Tempatan, Majlis Bandaraya dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengisytiharkan aset menerusi IBR.

“Bagi saya, tidak ada gunanya kita ikrar tanpa kita sediakan mekanisme dan sekarang mekanisme itu sudah disediakan dan sudah menjadi budaya dalam pentadbiran kita.

“Sekarang kita sudah bersedia untuk IBR dan sebagainya. Yang penting kita sangat konsisten dalam membanteras dan menangani gejala rasuah dalam pentadbiran pengurusan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau juga menyatakan, orang awam boleh meneliti dokumen IBR itu dalam laman web dan mereka akan tahu Menteri Besar, Exco serta ADUN di Selangor mempunyai jumlah aset,” katanya. – MalaysiaGazette