Home Nasional Johor dijangka tidak perlu beli air terawat dari Singapura menjelang 2022

Johor dijangka tidak perlu beli air terawat dari Singapura menjelang 2022

Xavier Jayakumar

PUTRAJAYA – Johor dijangkakan tidak perlu lagi membeli bekalan air terawat dari Singapura menjelang 2022 apabila siap pembinaan beberapa loji air baharu dengan kapasiti 260 juta liter air sehari, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan Johor mempunyai bekalan air terawat tersendiri dan mencukupi untuk kegunaan negeri itu dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air terawat dari negara jiran itu.

“Kita kena pastikan di Johor mempunyai bekalan air terawat sendiri dan mencukupi. Oleh itu, kita akan sediakan beberapa loji air baharu di negeri Johor menjelang 2022,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Besar Johor, Datuk Dr Shahruddin Jamal, di kementeriannya, di sini hari ini.

Ditanya sama ada usaha itu akan memberi kesan dalam rundingan Perjanjian Air antara Malaysia dan Singapura, Xavier berkata, langkah tersebut tidak memberi kesan dan perjanjian masih kekal.

Mengikut perjanjian air semasa yang berakhir pada tahun 2061, Malaysia membekalkan air mentah kepada Singapura sebanyak 250 juta gelen setiap hari pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen.

Kemudian, Malaysia membeli semula air yang telah dirawat dari republik itu pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Selain isu air, Xavier berkata kata sepakat dengan kerajaan negeri Johor turut dicapai mengenai langkah menangani pencemaran sungai di kawasan Johor dan Pasir Gudang melalui pengurusan air sisa kumbahan yang lebih efisien.

“Selain itu kedua-dua pihak turut bersetuju dengan pengurusan hutan yang mampan terutamanya melibatkan aspek pemuliharaan hutan simpan kekal sebagai khazanah negara,” katanya.

Beliau berkata, kementerian dan kerajaan negeri Johor juga bersetuju mengenai penubuhan Akaun Amanah Bagi Operasi Menyelamat Hidupan Liar Yang Terperangkap. – Bernama