KUALA LUMPUR – Wirawati Putra Malaysia mendesak semua pihak tidak mempolitikkan nasib hampir 800 kakitangan Utusan Malaysia yang kehilangan sumber pendapatan dan mula membantu menyelamatkannya.
Ketuanya, Dr. Asmah Razalli berkata, sudah sampai masanya pihak yang terhutang budi dengan Utusan membalas jasa mereka dengan menyalurkan bantuan serta menyelesaikan kemelut itu.
“Kenang jasa Utusan yang telah puluhan tahun membawa berita dalam dan luar negara tanpa henti. Jangan mempolitikkan nasib rakyat yang membanting tulang menyara keluarga.
“Ahli-ahli politik yang telah berjaya atas ulasan serta perkongsian akhbar Utusan sepatutnya membalas jasa dengan membantu menyelesaikan kemelut antara akhbar Melayu nombor satu negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berdepan risiko penutupan operasi sekiranya gagal menjual aset dalam tempoh beberapa minggu ini.
Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia, Mohd. Taufek Razak berkata, syarikat akhbar itu memaklumkan jika aset-aset milik Utusan tidak terjual dalam tempoh terdekat ini, tidak ada jalan lain selain menutup operasi Utusan Malaysia.
Asmah juga menggesa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) campur tangan dalam kemelut tersebut dan tidak membiarkan nasib hampir 800 kakitangan Utusan hidup melarat.
“Pihak kerajaan Malaysia di bawah kementerian berkaitan seharusnya lebih bersimpati dengan nasib kakitangan Utusan yang 100 peratus rakyat Malaysia dengan tidak membiarkan isu Ini hanya diremehkan serta terbiar,” katanya.
Katanya lagi, amat malang serta terlalu menyedihkan jika Utusan yang menjadi suara berita yang menyalurkan maklumat khususnya mengenai hal ehwal negara, Melayu serta agama sejak 80-an terpaksa dikorbankan.
“Ini kerana pengurusan yang lemah serta kewangan yang mengekang. Campur tangan kerajaan pastinya diharapkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette