Home Utama Kemelut Utusan, jangan tuduh UMNO cuci tangan

Kemelut Utusan, jangan tuduh UMNO cuci tangan

Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tidak betul tuduhan UMNO cuci tangan dalam kemelut yang melanda Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, UMNO sentiasa membantu dalam pelbagai bentuk untuk memastikan akhbar Utusan Malaysia dapat beroperasi selama ini.

Bagaimanapun, kata beliau, selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, banyak aset UMNO dibekukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau esok aset kita dipulangkan, esok juga kita akan pastikan kebajikan pekerja Utusan Melayu kita bela.

“Apapun, kita sedang fikirkan apa yang dapat kita bantu, kita akan bantu,” katanya ringkas pada sidang media berkaitan Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad.

Akhbar Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kini berdepan risiko penutupan operasi sekiranya gagal menjual aset dalam tempoh beberapa minggu ini.

Menurut Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia, Mohd Taufek Razak, hasil perbincangan dengan pengurusan tertinggi syarikat akhbar itu memaklumkan jika aset milik Utusan tidak terjual dalam tempoh terdekat ini, tidak ada jalan lain, selain menutup operasi Utusan Malaysia.

“Pagi tadi (semalam) kami (NUJ) bertemu dengan Pengerusi Eksekutif Utusan Malaysia, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir di Jabatan Perusahaan, Kementerian Sumber Manusia, menurutnya mereka akan menutup operasi Utusan, kerana tidak mahu lagi menanggung beban,” kata Mohd Taufek.

Ditanya kemelut yang berlaku dalam akhbar itu, Annuar menafikan ia berkaitan dengan politik sebaliknya disebabkan masalah aspek perniagaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

UMNO akan bantu Utusan Melayu jika akaun, dana tak dibeku – Najib