KUALA LUMPUR – Tiga daripada lima set tren monorail empat gerabak sudah memulakan operasi setelah menjalani penyelenggaraan dan tukar ganti komponen baharu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew berkata, dua lagi set tren empat gerabak akan diterima selepas proses penukaran komponen rosak menjelang November ini untuk beroperasi sepenuhnya.
Katanya, pemeriksaan tren itu memulakan kerja penukaran komponen rosak sejak Mei lalu selama tiga bulan dan pada 16 Ogos lalu kembali beroperasi menepati jadual ditetapkan.
“Manakala dua lagi set empat gerabak masih menjalani pembaharuan komponen dan akan kembali menjelang November ini.
“Selama ini, kami berdepan kesulitan dengan enam set train dua gerabak yang hanya menampung 31,000 penumpang sehari berbanding tren empat gerabak yang membawa 423 penumpang satu perjalanan dan 72,000 penumpang sehari.
“Tetapi peningkatan angka pengguna tiket transit My 100 yang kini mencecah 110,000 penumpang secara tidak langsung akan kembali meningkatkan jumlah penggguna termasuk pengoperasian semula tiga set tren empat gerabak sekarang,” katanya dalam sidang media di Stesen Monorail Bukit Nanas hari ini.
Beliau hadir untuk majlis pengumuman pembaharuan operasi tiga daripada lima set tren empat gerabak yang kembali beroperasi semula selepas menjalani fasa penyelenggaraan dan penukaran komponen rosak.
Pada majlis sama turut diraikan ulang tahun ke-16 operasi Monorail disertai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain dan staf syarikat peneraju pengangkutan awam negara berkenaan.
Anthony juga mengakui beberapa kesulitan undang-undang serta insiden keselamatan awam menyebabkan perkhidmatan tren empat gerabak diberhentikan sementara sebelum ini.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai penempahan tujuh set tren empat gerabak baharu bagi menambah keefisienan sistem tren awam di Lembah Klang, katanya, pihak kementerian terlebih dahulu akan menilai prestasi keempa-empat tren yang akan memulakan operasi November ini.
“Selepas tempoh penilaian prestasi operasi itu selama enam bulan nanti, bermula Jun 2020 kita akan secara berfasa menerima tujuh set tren baharu empat gerabak dalam tempoh masa 18 bulan yang sekali gus akan merancakkan sistem tren dan kapasiti penumpang berlipat ganda kelak.
“Selepas dua set tren empat gerabak kembali beroperasi November nanti, bilangan penumpang kami akan melebihi 100,000 sehari selain penambahan tujuh lagi set tren empat gerabak baharu akan menghenjutkan lagi bilangan itu.
“Kami juga sedang sedaya upaya memberikan perkhidmatan tren yang terbaik untuk mengelak sebarang kesulitan dari segi kualiti perkhidmatan daripada pengguna setiap hari,” tegasnya.- MalaysiaGazette