KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan memastikan tidak wujud monopoli satu pihak dalam perkhidmatan e-hailing motosikal (gojek) apabila dilaksanakan di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun pihaknya sebelum ini berpendirian tidak berhasrat untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal itu namun pendekatan semasa kerajaan pimpinan Pakatan Harapan yang dinamik tidak mahu terus menutup pintu untuk sebarang kemungkinan ke arah itu.
Katanya, kementerian sebagai pihak bertanggungjawab terhadap pembangunan sektor pengangkutan awam negara terlebih dahulu akan mengkaji lebih lanjut sistem itu daripada segi semua aspek mengikut budaya dan persekitaran sektor jaringan pengangkutan negara ini.
“Memang ada pertemuan pertama kali melibatkan saya, Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad), Syed Saddiq Abdul Rahman (Menteri Belia dan Sukan) dan peneraju Gojek iaitu Nadiem Makarim semalam setelah syarikat itu meluahkan hasrat untuk memulakan operasi, melabur dan membuka syarikat di sini serta memperkenaklkannya di sini.
“Kita mendengar pembentangan daripada mereka yang boleh dikatakan menarik tetapi kita sebelum itu kena mengkaji serta berbincang dengan lebih lanjut mengenai mekanisme pelaksanaan perkhidmatan itu.
“Walaupun secara prinsipnya saya tidak menolak, saya pernah kata (kementerian) belum bersedia memperkenalkan e-hailing motosikal namun sebagai kerajaan berdinamik tidak mahu menutup sebarang potensi pelaksanaannya,” katanya dalam sidang media hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Seremban itu hadir melancarkan tiga set tren monorail empat gerabak yang kembali beroperasi sejak 16 Ogos lalu selepas menjalani penyelenggaraan dan penggantian komponen rosak sejak Mei lepas.
Syed Saddiq hari ini meluahkan keinginannya untuk memperkenalkan gojek di negara ini dengan alasan ia salah satu sektor yang boleh membuka pasaran peluang pekerjaan untuk anak-anak muda di negara ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony mengakui pihaknya juga mempunyai kebimbangan terhadap keselamatan penggunaan perkhidmatan itu serta cara ia boleh ditangani dengan kaedah pelaksanaan tahap keselamatan yang terjamin untuk pengguna.
Menurutnya, kementerian juga berperanan untuk mengkaji sama ada e-hailing Go-Jek mampu memberi penyelesaian kepada masalah utama pengangkutan awam yang dihadapi negara iaitu jaringan bas dari rumah penumpang ke stesen tren berhampiran.
Kata beliau, bas transit yang disediakan dari stesen tren untuk pengguna menyaksikan bas tidak boleh memasuki setiap perumahan sekaligus menyukarkan pengguna memanfaatkan pengangkutan awam tren.
“Maka kita lihat adakah sistem gojek ini boleh menyelesaikan masalah ini dan Syed Saddiq menjelaskan semalam dia akan bangkitkan cadangan ini dalam kabinet dengan lebih lanjut untuk mendapatkan pandangan anggota jemaah menteri.
“Walaupun cadangan Syed Saddiq mewakili pandangan pemuda dari aspek mewujudkan peluang pekerjaan, saya lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan, pengoperasian dan sebagainya.
“Maka sudah pasti kami tidak akan menolak cadangan itu sebaliknya menyambut terbuka sebarang pelaburan pengangkutan di negara ini, cuma kajian lanjut diperlukan dari agensi tempatan kita,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bekas Menteri Pengangkutan di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum ini telah melarang cadangan pelaksanaan gojek di negara ini.
Anthony menjelaskan, pihaknya tidak membuat keputusan terakhir sama ada membenarkan atau menghalang e-hailing motosikal.
“Andai kata kita membenarkan perkhidmatan ini pada masa depan, kita tidak akan membenarkan satu syarikat sahaja monopoli industri sewa motosikal ini sebaliknya akan dibuka kepada semua.
“Katakan kabinet bersetuju bahawa Kementerian Pengangkutan akan ambil alih kajian cadangan itu, maka kami akan mencari mekanisme dan rangka kerja tentang pengoperasiannya.
“Jadi buat masa ini ia masih dalam peringkat conceptional,” tegas beliau.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: