KUALA LUMPUR – Laporan prestasi suku kedua 2019 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kerajaan tidak menyumbang langsung kepada pertumbuhan ekonomi.
Ini kerana, dakwa Datuk Seri Mohamad Hasan, sumbangan perbelanjaan swasta terhadap pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua 2019 adalah 4.4 mata peratusan.
Ini bermakna, perbelanjaan swasta menyumbang sebanyak 90 peratus daripada jumlah pertumbuhan negara 4.9 peratus pada suku kedua tahun ini.
Manakala sumbangan pelaburan swasta pula adalah 0.4 mata peratusan atau 8.2 peratus daripada jumlah pertumbuhan ekonomi.
Sumbangan eksport bersih (eksport tolak import) pula adalah 1.4 peratus atau 29 peratus daripada jumlah pertumbuhan ekonomi negara.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, dengan kata lain, rakyat Malaysia yang menyelamatkan ekonomi negara pada suku kedua 2019.
“Pihak kerajaan tidak langsung menyumbang, bahkan ianya menguncup sebanyak 0.5% daripada jumlah pertumbuhan ekonomi negara antara bulan April dan Jun tahun ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tegas Mohamad, sumber pertumbuhan ekonomi negara yang terlalu bergantung kepada perbelanjaan rakyat atau pengguna adalah sesuatu yang amat berisiko.
Ini kerana, para pengguna berkemungkinan akan mengurangkan perbelanjaan mereka disebabkan faktor kenaikan kos sara hidup serta sentimen yang lemah atau berhati-hati.
“Justeru, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan kadar pertumbuhan 4.9 peratus seperti yang di laung-laungkan oleh menteri kewangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette