KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang seolah-olah ‘meraikan’ berita ada kemungkinan penerbitan akhbar Utusan Malaysia dihentikan setelah hampir 80 tahun beroperasi adalah sesuatu langsung tidak boleh di terima.
Malah dengan mendakwa ianya sebagai satu kemenangan paling besar buat kerajaan Pakatan Harapan oleh Rayer sangat menjengkelkan umum seolah-olah bercakap tanpa perasaan.
Walaupun selang kemudian, Rayer bertindak menarik balik beberapa perenggan daripada kenyataan itu selain menyalahkan pembantunya namun kerosakan tahap maksimum sudah dilakukan.
Menurut Presiden Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Datuk M Sambathan, beliau merasakan kenyataan Rayer tidak lebih daripada memalukan diri sendiri selain daripada menonjolkan rasa ‘benci’ terhadap lidah UMNO sebelum ini.
“Tarik balik atau tidak, kita sudah dapat jawapan bagaimana mentaliti seseorang yang bergelar wakil rakyat seperti Rayer ini. Sungguh mengecewakan, jangan kamu soal tentang sumbangan Utusan Malaysia, tepuk dada tanya apakah yang telah kamu berikan kepada negara selama ini terlebih dahulu.
“Apakah sumbangan oleh akhbar lidah DAP, Roket itu sendiri kepada pembangunan rakyat di negara ini selama berpuluh-puluh tahun? Apa hak kamu untuk menyoal Utusan Malaysia hanya kerana parti menang beberapa saman dengan akhbar ini? Cetek sangat pemikiran kamu ini.
“Pastinya dengan usia lebih 80 tahun penubuhan akhbar ini yang juga memainkan peranan penting dalam memerdekakan negara kita ini, soal menyumbang atau tidak bukan sesuatu yang boleh kita politikan seperti yang di buat oleh Rayer ini.
“Malulah sikit Rayer, penuh emosi kamu berteriak menuduh Utusan dan UMNO macam-macam selama ini kerana ‘bos’ kamu selalu kena kritik, cubalah jadi wakil rakyat yang bekerja untuk rakyat sikit,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.
Dalam pada itu, Sambatan yang juga Ahli Dewan Negara memuji sikap pemimpin seangkatan Rayer juga dari DAP, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang tampil mahu membantu para pekerja Utusan Malaysia semalam.
“Cuba ikut jejak Lip Eng itu, walaupun beliau selalu nampak agresif tapi dalam hal ini sangat ‘gentleman’. Sekurang-kurangnya tanpa mengkritik atau ingat perkara yang lepas, beliau tampil membantu.
“Rayer, belajar sikit dari Lip Eng itu, berani dan ‘melalak’ ikut tempat dan kesesuain sedikit,” tegasnya.
Semalam, Rayer dalam satu kenyataan mengecewakan masyarakat umum termasuk mereka yang pro kerajaan berkata, kematian Utusan akan menjadi kejayaan kepada PH paling besar apabila kita mencari pengasingan perkauman di negara ini dan meraikan 62 tahun kemerdekaan.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir mengumumkan, syarikat itu akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar, Utusan Malaysia dan Kosmo!. –MalaysiaGazette