Home Utama Tidak bincang rombakan Kabinet, hanya hal kerajaan – Guan Eng

Tidak bincang rombakan Kabinet, hanya hal kerajaan – Guan Eng

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kiri) diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin (kanan) bercakap semasa sidang media selepas Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Khabar angin bahawa akan ada rombakan Kabinet pada dalam masa terdekat adalah tidak benar.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam hanya membincangkan mengenai hal ehwal negara dan tidak langsung menyebut mengenai dakwaan itu.

Ia adalah berkaitan dengan urusan kerajaan, tidak ada kaitan dengan dakwaan rombakan Kabinet.

“Yang semalam hanya antara pemimpin utama kerajaan dan bukan ketua parti. Itu sebabnya hanya pemimpin kerajaan yang hadir untuk bermesyuarat dengan PM,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Guan Eng berkata, perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam mana-mana mesyuarat.

“Saya tidak tahu tapi yang saya hadir semalam adalah mengenai urusan kerajaan dan tidak ada kaitan dengan rombakan Kabinet.

“Ini tidak pernah dibangkitkan. Itu bukan saya yang tentukan, saya bukan PM,” katanya.

Setiausaha Agung DAP itu yang ditanya mengenai dakwaan parti tersebut menghantar senarai nama baharu bagi menggantikan menteri dalam Kabinet, beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

“Itu tidak benar sama sekali kerana Kabinet sudah ada dan kekal daripada pihak DAP.

“Kekal seperti sedia ada. DAP tidak hantar apa-apa senarai nama,” katanya.

Isu tiada rombakan Kabinet turut dijawab Zuraida Kamaruddin.

“Rombakan Kabinet tidak dibuat masa ini. Tidak bincangkan langsung mengenai rombakan Kabinet,” jelas Naib Presiden PKR itu.

Media semalam melaporkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed akan menyertai Kabinet tidak lama lagi.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan portfolio mana yang akan dipegang Mustapa.

Media sebelum ini banyak kali dimomokkan dengan berita rombakan Kabinet dan kali terakhir pada 19 Julai lalu.

Namun perkara itu dinafikan Dr Mahathir. – MalaysiaGazette