Home Nasional Jong-nam: Sepupu percaya Doan Thi Huong dianiaya

Jong-nam: Sepupu percaya Doan Thi Huong dianiaya

Doan Thi Huong dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Sepang oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC). foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 APRIL 2017.

SEPANG: Sepupu kepada suspek utama kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong-nam, Doan Thi Huong masih tidak percaya akan pertuduhan yang dikenakan terhadap wanita Vietnam tersebut.

Menurut Tran Huy Hoang, 23 beliau dan keluarga Doan tetap menyatakan bahawa sepupunya itu dianiayai bagi melakukan pembunuhan itu.

“Kami tetap dengan pendirian bahawa Doan tidak bersalah dan dianiaya. Ini dapat dilihat apabila dia (Doan) hadir semula ke klia2 dengan berbaju sama, sebelum ditahan polis.

“Seluruh rakyat kami di Vietnam tidak percaya bahawa Doan terlibat dalam pembunuhan ini,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri sebutan semula kes melibatkan Doan di luar Kompleks Mahkamah Sepang.

Huy Hoang berkata, beliau hadir ke Malaysia sejak Isnin lalu bersama ayah Doan, bagaimanapun bapa saudaranya itu tidak hadir ke mahkamah kerana tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Saya hadir sejak Isnin lalu dan akan pulang ke Vietnam pada Sabtu minggu hadapan,” katanya yang turut memberitahu tiket penerbangannya ditaja oleh NGO dari Vietnam.

Menceritakan pertemuan antara Doan dan ayahnya, Tran berkata, keadaan Doan bertambah baik sejak ditahan pada 14 Februari lalu.

“Ayahnya ada bertemu semalam, dia memberitahu keadaan Doan bertambah baik, mampu tersenyum. Ia kerana, Doan dapat sokongan dari kedutaan dan juga ahli keluarganya,” katanya.

Doan dituduh bersama-sama seorang warga Indonesia, Siti Aishah membunuh Jong-nam di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) 13 Februari lalu.

Kedua-dua mereka diheret ke Mahkamah Sesyen Sepang pada 1 Mac lalu atas tuduhan membunuh Jong-nam bersama-sama empat lagi individu yang telah pulang ke Korea Utara.

Doan hadir ke Mahkamah Sesyen Sepang berbaju t-shirt berwarna biru serta berseluar jeans biru sementara Siti Aisyah hadir dengan berbaju t-shirt merah dan berseluar hitam.

Jong-nam dibunuh menggunakan ‘Agen Saraf VX’ yang merupakan senjata kimia yang diharamkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). -MalaysiaGazette.