Home Sukan Wolves hampiri Liga Europa selepas menang di Torino

Wolves hampiri Liga Europa selepas menang di Torino

Raul Jiménez meraikan jaringan gol ketiga Wolves dalam kemenangan 3-2 mereka di Torino.

PARIS – Pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolverhampton Wanderers menghampiri peringkat kumpulan Liga Europa selepas mencapai kemenangan 3-2 pada perlawanan kalah mati timbal balik pertama di Torino.

Pasukan itu bermain dalam kempen Eropah pertama sejak 1981 dengan mendahului permainan hasil jaringan Gleison Bremer sebelum perlawanan berhenti rehat.

Diogo Jota menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-60, namun, Lorenzo de Silvestri merapatkan kedudukan buat tuan rumah dua minit selepas itu.

Raul Jimenez kembali melebarkan jurang kepada dua gol untuk Wolves pada minit ke-72 sebelum penalti Andrea Belotti di saat-saat akhir permainan kembali menghidupkan peluang buat skuad Serie A itu menjelang aksi timbal balik di Molineux Khamis ini.

“Pertemuan yang sengit. Ia belum berakhir, jauh daripada berakhir. Kami perlu berdepan pasukan yang amat kuat,” kata pengendali Wolves Nuno Espirito Santo.

“Kami bermain baik. Kami cukup tersusun dan mengekalkan rentak. Kami menghasilkan gol tetapi seperti saya katakan, masih ada satu perlawanan,” katanya seperti dilapor The Guardian.

Celtic yang tersingkir daripada Liga Juara-Juara minggu lalu di Cluj dari Romania, menewaskan kelab Sweden, AIK 2-0 di laman sendiri.

James Forest menjaringkan gol pada awal babak kedua dengan Odsonne Edouard menambah jaringan pada minit ke-73.

Pesaing dari Glasgow, Rangers seri 0-0 menentang Legia Warsaw.

Kelab Belanda, Feyenoord dan PSV Eindhoven masing-masing mencatat kemenangan 3-0 ke atas Hapoel Beer-Sheva dan Apollon. – MalaysiaGazette