KUALA LUMPUR – Pas yang konsisten menyokong pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik balik ke negara asalnya India berkata, DAP sengaja mengembar-gemburkan isu berkaitan penceramah bebas itu.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata DAP sengaja menimbulkan polemik perkauman daripada ucapan Zakir dengan tujuan mengalihkan isu berhubung parti itu.
“DAP sengaja menimbulkan polemik perkauman daripada ucapan Dr Zakir Naik hanya bertujuan untuk menutup pelbagai salah laku pemimpin-pemimpin mereka yang sedang diperhatikan orang awam dan dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya di Facebook beliau hari ini.
Khairuddin merujuk kepada segelintir pemimpin DAP yang sangat berlebihan menyasar ucapan Zakir.
Minggu lalu, dua Menteri dari DAP iaitu Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, menggesa agar Zakir diekstradisi kembali ke India dan tidak lagi dibenarkan untuk dikekalkan di negara ini.
Malah semalam, Zakir membuat satu lagi laporan polis terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy berhubung tuduhannya terhadap penceramah kontroversi itu dalam sidang media yang disiarkan di India.
Ramasamy menggelarkan Zakir sebagai penipu, pembenci dan racun kepada masyarakat. -MalaysiaGazette