Home Ekonomi Miskin: Kajian wakil PBB tak boleh diterima

Miskin: Kajian wakil PBB tak boleh diterima

Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR- Malaysia berpegang teguh kepada kadar kemiskinan yang direkodkan pada paras 0.4 peratus daripada keseluruhan isi rumah pada tahun 2016 atau sebanyak 24,700 isi rumah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia mengguna pakai standard berdasarkan Canberra Group Handbook on Household Income Statistic, Edisi Kedua (2011) yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengukur kadar kemiskinan di negara ini.

Garisan Pendapatan Kemiskinan (PLI) yang digunakan pula ditetapkan pada kadar RM980 bagi peringkat kebangsaan dan dikira berdasarkan keperluan asas isi rumah untuk hidup dalam keadaan sihat dan aktif.

Ia lebih tinggi berbanding PLI yang disasarkan dalam Matlamat Pembangunan Lestari 1 iaitu AS$1.25 sehari.

PLI juga menurut Mohamed Azmin lebih tinggi di Sabah iaitu RM1,180 dan Sarawak (RM1,020) kerana mengambil kira kos tambahan seperti pengangkutan.

“Bagaimanapun di peringkat pelaksanaan terutamanya apabila menyalurkan bantuan, PLI sesebuah isi rumah turut mengambil kira lokasi, saiz isi rumah dan faktor-faktor demografik.

“Ini mungkin menyebabkan PLI isi rumah tersebut lebih tinggi berbanding PLI kebangsaan.

“Disebabkan itu, bantuan diberikan mengikut keperluan penerima berdasarkan profil mereka dalam sistem eKasih yang direka bagi memudahkan kerajaan untuk mengenal pasti kumpulan sasar yang tepat.

“Dengan itu, penemuan Profesor Alston yang mengatakan terdapat “kesilapan statistik yang menyebabkan akibat buruk” adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali dan tidak bertanggung jawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, bagi meningkatkan keberkesanan inisiatif menghapuskan kemiskinan, kerajaan akan menilai semula kaedah PLI kepada satu kaedah yang lebih baik dalam menterjemahkan kos sara hidup semasa.

Selain itu, Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) telah diwujudkan bagi mengira dimensi pendapatan yang lebih meluas berbanding kaedah yang digunakan ketika ini.

“Petunjuk yang digunakan dalam MPI mampu menterjemahkan mobility sosial sesebuah isi rumah dengan lebih baik,” katanya sambil menambah kerajaan kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Wakil Khas PBB, Philip Alston.

Tambah Mohamed Azmin, kerajaan menghargai usaha yang dilakukan oleh wakil khas PBB itu yang mahu meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu kemiskinan bagaimanapun terdapat komen-komen yang tidak berasas seperti mengatakan ‘sebahagian besar rakyat Malaysia sukar mendapatkan makanan, tempat tinggal, pendidikan dan penjagaan kesihatan.’

Komen sedemikian adalah salah dan tidak bersandarkan kepada bukti-bukti yang nyata, katanya lagi.

Menurut Mohamed Azmin, kerajaan tidak memandang enteng terhadap peningkatan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat Malaysia terutamanya golongan B40 dan disebabkan itu kerajaan memperuntukkan sejumlah besar dalam bajet untuk memberikan subsidi dan bantuan sosial kepada golongan berkenaan.

Pada 2018 katanya, sejumlah RM27.5 bilion atau kira-kira 11.9 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan operasi untuk tujuan tersebut.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Malaysia bukan negara sifar kemiskinan- wakil PBB