Home Dunia Suspek tragedi Berlin ditembak mati polis Milan

Suspek tragedi Berlin ditembak mati polis Milan

anis-amri-terbunuh-dalam-serangan-polis-di-milan-awal-pagi-tadi

Suspek serangan di pasar Krismas, Berlin Jerman, Anis Amri telah dibunuh pada Jumaat di Milan, menurut Polis Itali hari ini.

Suspek dibunuh dalam insiden tembak menembak di Sesto San Giovanni, sebuah bandar berhampiran Milan sekitar pukul 3 pagi waktu tempatan di Itali.

Polis Itali berkongsi maklumat itu dalam akaun Twitter rasmi mereka lewat petang tadi.

Semasa kejadian, suspek diperiksa dan ditanya dokumen pengenalan diri sebelum dia mengeluarkan pistol .22 kaliber dan menembak ke arah polis.

Pemandu kereta polis membalas tembakan itu sebelum suspek terbunuh.

Seorang anggota polis dilaporkan tercedera dalam insiden tembak menembak itu dan sedang menerima rawatan di hospital.

Menteri Dalam Negeri Itali, Marco Minniti dalam sidang media tergempar berkata, lelaki yang ditembak mati itu tanpa sebarang keraguan adalah suspek tragedi Berlin, Anis Amri.

Tambah beliau, pegawai polis yang terkena tembakan suspek, Cristian Morio bertambah pulih di hospital dan pegawai kedua Lucas Scata selamat.

Minniti berkata, polis Itali telah bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa Jerman dalam insiden menembak ini.

“Saya berterima kasih kepada pasukan polis Itali kerana cekap dan bertindak pantas mengecam identiti suspek dan menumpaskannya,” kata Minniti lagi.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut mengenai operasi itu disebabkan siasatan sedang dijalankan serta “kes telah dirujuk ke kehakiman”.

Dalam kejadian trak merempuh pasar Krismas pada Isnin lalu mengakibatkan 12 orang terbunuh.

Cap jari Amri ditemui di kabin trak itu, menurut Menteri Dalam Negeri Jerman, Thomas de Maiziere sejurus selepas kejadian pada awal minggu ini.

Suspek berusia 24 tahun sangat dikehendaki dan diburu pihak berkuasa sejak insiden pada Isnin, manakala pihak berkuasa Eropah menawarkan ganjaran tunai lebih 100,000 euro kepada sesiapa yang memberikan maklumat mengenai kedudukan Amri.

Fail Penyiasatan Jerman mendedahkan Amri mempunyai hubungan dengan rangkaian pengrekrutan Islamic State (IS) di Jerman dan pernah merancang untuk melancarkan serangan di negara itu. – Agensi