KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy mengakui keadaan negara pada masa ini agak ‘huru hara’ terutama menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan tidak lama lagi.
Beliau yang juga menjaga portfolio Perpaduan Negara serta Kesejahteraan Sosial itu melahirkan kebimbangan sambil menyatakan ketika ini apa yang amat diperlukan persefahaman antara semua kaum.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Negara tidak pula mengupas tentang apa perkara tersebut sebaliknya hanya sekadar mengingatkan umum supaya mengutamakan keharmonian.
“Seharusnya pada bulan kemerdekaan ini, kita bersatu padu dan hidup serba harmoni tapi ketika keadaan sedikit ‘tegang’ dan perlu diperbaiki.
“Marilah kita bersama-sama memahami dan bersatu hati, dalam beberapa hari lagi kita akan sambut hari kemerdekaan yang memberi seribu satu makna kepada semua rakyat yang hidup berbilang kaum serta latar belakang.
“Kita ketepikan yang tidak menyenangkan, marilah kita sambut kemerdekaan dengan keadaan tegang mahupun rasa tidak senang,” katanya ketika merasmikan majlis anugerah ‘Desam Media Achievers Award’ (DMMA) di Mahsa University, Saujana Putra malam tadi.
Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 1,000 orang dalam kalangan masyarakat India pada majlis anugerah tersebut.
Pada masa ini, isu pengenalan tulisan jawi khususnya di sekolah vernakular mengundang bantahan dalam kalangan masyarakat Cina dan India sehingga ada pihak mengadakan demonstrasi semalam.
Selain itu, juga kehadiran penceramah kontroversi yang dikehendaki oleh kerajaan India, Dr. Zakir Naik didakwa telah mencalarkan perasaan yang bukan Melayu dan Islam menyebabkan umum mendesak supaya beliau diekstradisi ke India.
Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini dengan tema Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ di Putrajaya depan. – MalaysiaGazette