Home Nasional Program UMNO Bantu Rakyat sasar 400,000 keluarga miskin

Program UMNO Bantu Rakyat sasar 400,000 keluarga miskin

Shamsul Anuar Nasarah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bersama Media berkenaan Program UMNO Bantu Rakyat di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – UMNO Malaysia menerusi Biro Kebajikannya akan menganjurkan Program UMNO Bantu Rakyat sepanjang Mei ini.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan jelajah secara berkonvoi itu pada 20 Mei di Sekolah Kebangsaan (SK) Kosas, Ampang, pada jam 2 petang.

Menurut beliau, jelajah itu melibatkan Briged Bantuan Bencana UMNO, Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri, Ahli Jawatankuasa UMNO Malaysia dan ahli jawatan Biro Kebajikan.

Katanya, jelajah fasa pertama dari 20 hingga 23 Mei ini melibatkan beberapa negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Fasa kedua dari 23 hingga 25 pula peserta Program UMNO Bantuan Rakyat akan menyusur ke Sabah selama tiga hari melibatkan Bahagian Kinabatangan, Kalabakan, Tamau, Semporna, Pengsiangan, Batu Sapi, Sandakan, Libaran, Seluran dan Silam.

“Kita juga akan berjumpa dan menghulurkan sumbangan serta bantuan kepada rakyat miskin, anak yatim, pelajar dan ibu tunggal di Bahagian Beaufort, Sepitang, Tenom, Keningau, Papar, Kimanis, Penampang, Kota Kinabalu, Putatan, Tuaran, Kota Belut, Tanau, Kota Merudu dan Kudat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bersama Media berkenaan Program UMNO Bantuan Rakyat di Pejabat Biro Kebajikan UMNO Malaysia di Kondominium Villa Putra, di sini, hari ini.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, golongan sasaran program itu ialah ibu tunggal, anak-anak yatim, pelajar dari keluarga miskin dan pesakit kronik.

Ia, kata beliau, melibatkan kira-kira 400,000 keluarga di seluruh negara termasuk Sabah.

Jelas Shamsul Anuar, bagi fasa ketiga program itu bermula pada 29 hingga 31 Mei melibatkan golongan sasar di Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor Bahru, Pahang dan Terengganu.

“Program ini adalah kesinambungan kepada yang pertama kita jalankan tahun lepas melibatkan kira-kira 100,000 keluarga.

“Kali ini kita tingkatkan lagi ke setiap bahagian di seluruh negara, yang turut disertai lebih 8,000 sukarelawan yang akan membantu melancarkan program ini.

“Kita mahu mendekati rakyat. Pemimpin yang bersama dalam program ini tidak mempunyai sebarang protocol. Rakyat boleh mengenali pemimpin mereka dari dekat,” katanya.

Menurut Shamsul Anuar, Program UMNO Bantu Rakyat adalah cetusan idea Perdana Menteri yang mahu rakyat merasai pemimpin mereka sentiasa dekat di hati. – MalaysiaGazette