KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP disaran supaya keluar dari kabinet kerana gagal mempertahankan permintaan kaum Cina untuk menghalang pembelajaran tulisan khat dan jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah rendah yang akan diperkenal tahun depan.
Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran berkata, apa yang berlaku terhadap parti itu apabila tunduk dengan keputusan Kementerian Pendidikan untuk tetap meneruskan mata pelajaran berkenaan benar-benar memalukan mereka.
“Isu khat ini memang benar-benar memalukan DAP. Saya pun malu dalam hal ini.
“Kalau perkara ini pun mereka tak boleh buat saya sangat gembira. Kita (MIC) tak pernah jual maruah sebab nak menang kerusi. Ini tiada pilihan raya pun mereka takut,” katanya pada sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung MIC di PWTC di sini hari ini.
Menurut Vigneswaran, DAP boleh mendesak agar perkara itu tidak dilaksanakan terus kerana ia bukanlah satu usul yang perlu dibawa ke parlimen untuk digubal.
Katanya, ia hanyalah satu perkara yang boleh diselesaikan peringkat kementerian dan mereka (DAP) boleh menyuarakannya dengan tegas.
“Dulu mereka ini macam hero tapi kali ini mereka takut, kenapa?,” soalnya.
Kementerian Pendidikan akan meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun depan.
Kementerian berkenaan berkata, pelaksanaan itu akan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru.
Perancangan untuk memperkenalkan tulisan Jawi dalam kurikulum sekolah sudah pun dimulakan sejak tahun 2014 lagi.
Usaha itu adalah bertujuan untuk menerapkan nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara.
Perhimpunan MIC kali ke-73 itu dirasmikan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama pada perhimpunan berkenaan, Naib Presiden Pas, Zawawi Salleh dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong. – MalaysiaGazette