Home Nasional Jamal tolak denda RM100 demi prinsip

Jamal tolak denda RM100 demi prinsip

Jamal Md Yunos. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2017.
AMPANG – Demi prinsip menegakkan sistem demokrasi di negara ini, Pengerusi Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos serta sembilan pengikutnya enggan mengaku bersalah dan sanggup membayar wang jaminan RM3,000.

Katanya, walaupun mereka ditawarkan pertuduhan pilihan dengan denda maksimum RM100 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336), namun tindakan kekerasan menghalang kumpulan Bersih tahun lalu perlu dipertahankan.

“Bila kami tak lakukan kesalahan, kenapa kami perlu mengaku bersalah, walaupun pilihannya adalah denda RM100 berbanding kami tidak mengaku bersalah dijamin sebanyak RM3,000 terpaksa turun dan membayar duit peguam.

“Bagi kami ia perkara tidak adil yang perlu kami pertahankan,” katanya kepada pemberita selepas beliau dan sembilan pengikutkan dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dan seorang penjamin setiap seorang di Mahkamah Sesyen Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Jamal yang juga ketua Umno Bahagian Sungai Besar dihadapkan ke mahkamah Sesyen hari ini di atas dua pertuduhan menggunakan kekerasan terhadap ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan kumpulan Bersih di pusat beli-belah Ampang Point pada 13 November 2016.

Dalam kejadian itu, Jamal mendakwa ditumbuk oleh individu tidak dikenali ketika pergelutan antara kumpulan baju merah dan pihak polis mengekori Zuraida mempromosikan perhimpunan Bersih 5.0.

Dalam pada itu, Jamal mempertikaikan pihak berkuasa yang tidak mendakwa dan menyiasaat Zuraida serta kumpulan Bersihnya kerana didakwa mereka yang memulakan provokasi sebelum berlaku kekerasan berkenaan.

“Saya diberitahu tiada siasatan hingga sekarang terhadap Zuraida dan kumpulan mereka. Ini yang kita pertikaikan, sedangkan perkara ini berlaku kerana provokasi yang dibuat oleh Zuraida yang mempromosikan Bersih untuk memburuk-burukkan kerajaan, untuk menghasut orang ramai menjatuhkan kerajaan dengan protes jalanan.

“Kalau tidak berlakunya provokasi yang dilakukan Zuraida, pada ketika itu perkara ini tidak akan berlaku. Dari awal telah kami nyatakan, tiada Bersih, tiada Gerakan Baju Merah,” tegasnya.

Jamal turut mendakwa, sekiranya Zuraida dan kumpulan Bersih tidak diambil tindakan, beliau khuatir mereka akan melakukan himpunan haram tersebut pada masa akan datang.

“Saya sebagai pengerusi gerakan baju merah, dengan tertuduhnya saya, dengan tertuduhnya rakan-rakan ini, saya yakin mereka akan buat Bersih 6.0 kerana undang-undang tidak mengambil tindakan terhadap daripada apa yang mereka lakukan,” katanya. – MalaysiaGazette