Home Ekonomi Malaysia mampu capai pertumbuhan tinggi dengan pembaharuan struktur

Malaysia mampu capai pertumbuhan tinggi dengan pembaharuan struktur

Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Malaysia yang memiliki sumber asli serta ekonomi sedia ada yang kukuh, berupaya mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding sekarang menerusi lebih banyak pembaharuan struktur, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

“Ekonomi global sedang berubah, dan terdapat banyak faktor yang mendorong pertumbuhan global. Kita perlu tahu yang mana sesuai untuk kita, apakah kelebihan perbandingan kita, dan apa yang perlu kita lakukan sekarang untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi negara kita,” katanya.

Lebih banyak pembaharuan struktur diperlukan dalam menjana bidang pertumbuhan baharu dan pekerjaan berpendapatan tinggi, katanya.

“Apakah dasar pekerja asing pada masa akan datang. Apakah jenis kemahiran yang kita perlukan agar kita dapat mengubah ekonomi serta memanfaatkan revolusi teknologi yang diperlukan jika kita mahu kekal relevan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.

Pembaharuan sistem pendidikan merupakan satu lagi bidang yang diberikan perhatian utama oleh BNM bagi memastikan negara ini mengeluarkan tenaga kerja yang mencukupi dengan kemahiran yang tepat. Ini bukan sahaja penting untuk mendorong pertumbuhan negara, bahkan untuk menangani kos sara hidup, katanya.

Inilah beberapa isu ekonomi yang perlu ditangani dengan segera untuk memastikan pertumbuhan yang mampan dalam jangka sederhana dan panjang, katanya.

Buat masa ini, Nor Shamsiah berkata ekonomi Malaysia berkeupayaan menangani impak masalah luar dan berkembang dalam lingkungan 4.3 peratus dan 4.8 peratus tahun ini.

Ekonomi Malaysia tumbuh lebih baik berbanding jangkaan pada suku kedua 2019 pada 4.9 peratus (4.5 peratus pada suku pertama).

“Angka ini lebih baik daripada yang dijangkakan, yang sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang rendah. Pada suku kedua 2018, kita mengalami gangguan bekalan, namun merekodkan pemulihan (pada suku kedua 2019), terutama dalam pengeluaran komoditi,” katanya.

Sektor komoditi telah membantu mendorong pertumbuhan pada suku kedua, selain penggunaan swasta yang terus meningkat walaupun selepas pelaksanaan ‘cuti membayar cukai’. Ini disokong oleh pertumbuhan upah yang berterusan.

Ditanya sama ada Malaysia menjangkakan kelembapan pada separuh kedua tahun ini, Nor Shamsiah berkata ia bergantung kepada hasil rundingan akhir perdagangan antara AS dan China.

Mengulas lebih lanjut mengenai perang perdagangan yang sedang berlaku, Gabenor itu berkata BNM sangat telus dengan mengambil kira semua fakta dan menunjukkan impak bersih ke atas Malaysia berdasarkan konteksnya.

“Ada beberapa peralihan perdagangan, namun kami tidak mengambil kiranya sebagai unjuran pertumbuhan asas,” katanya, sambil menambah bahawa ketidaktentuan mengenai ketegangan perdagangan menjejaskan sentimen pelabur memandangkan mereka tidak dapat membuat keputusan sama ada hendak meneruskan pelaburan atau sebaliknya.

“Secara objektif, walaupun produk yang tertakluk kepada tarif hanya melibatkan 2.5 peratus daripada jumlah eksport global, ia telah memberikan kesan limpahan negatif terhadap sentimen dan ketidaktentuan,” katanya.

“Ya, berlaku kekangan luaran. Kita tidak mengatakan bahawa kita kebal atau terkesan. Kita masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh serta kekuatan untuk membantu mengatasi impak itu,” kata Nor Shamsiah, wanita kedua yang mengetuai BNM selepas Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Untuk masa depan, penggunaan swasta akan terus berkembang, dengan negara menikmati pekerjaan penuh dan peningkatan upah.

“Pemulihan dalam pengeluaran komoditi dan pelaksanaan semula beberapa projek infrastruktur juga akan menyokong pertumbuhan,” katanya.

Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) berharga RM44 bilion yang merangkumi 640km dan fasa kedua Trek Berkembar Lembah Klang dengan nilai kontrak RM4.475 bilion, adalah antara projek besar yang dihidupkan semula.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan permulaan Light Rail Transit – Line 3 (LRT3) bernilai RM16.63 bilion dan Mass Rail Transit – Line 2 (MRT2) bernilai RM30.53 bilion.

Sebanyak 121 projek infrastruktur lain juga diberi lampu hijau selepas rundingan semula kos. – MalaysiaGazette