SHANGHAI – Ahli-ahli perniagaan Hong Kong diminta memberi sokongan padu kepada kerajaan bandar raya itu bagi menamatkan keganasan yang sedang berlaku.
Diplomat China, Wang Yi menyifatkan wilayah China itu sedang menghadapi krisis terbesar sejak dikembalikan kepada pemerintahan China pada tahun 1997.
Hong Kong berdepan dengan protes terhadap kerajaan selama tiga bulan, selepas pemerintahnya mahu melaksanakan rang undang-undang ekstradisi pesalah ke negara China.
Penduduk Hong Kong membantah rang undang-undang itu kerana bimbang Beijing akan memiliki kawalan lebih besar.
Dalam tunjuk perasaan pada Ahda lalu, polis terpaksa melepaskan meriam air dan gas pemedih mata bagi mengawal demonstrasi.
Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam kemudian memberi amaran bahawa pihak berkuasa akan bertindak untuk menghalang keganasan yang semakin meningkat.
Media harian China dalam ruangan editorial memberi amaran bahawa jurang antara kerajaan dan penunjuk perasaan kelihatan “tidak dapat dikawal”, dengan pentadbiran tidak dapat menangani penunjuk perasaan.
Walau bagaimanapun, Wang percaya masalah di Hong Kong itu dapat diatasi dengan sokongan kerajaan dan perpaduan antara penduduk. – MalaysiaGazette