Home Ekonomi Penstrukturan BIMB ambil masa setahun

Penstrukturan BIMB ambil masa setahun

KUALA LUMPUR – BIMB Holdings Bhd menjangkakan cadangan pelaksanaan penstrukturan semula akan selesai dalam tempoh setahun, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Muazzam Mohamed.

Beliau berkata, kumpulan itu sedang mendapatkan kelulusan pengawal selia untuk melaksanakannya.

“Pelan itu sudah ada, sesuatu yang telah dipersetujui oleh lembaga. Ia sedang menunggu kelulusan yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan separuh tahun kumpulan itu yang berakhir pada 30 Jun, 2019, di sini hari ini.

BIMB, sebuah syarikat induk kewangan, telah lama memikirkan penstrukturan semula kumpulan itu yang pada dasarnya melibatkan entiti bank milik penuhnya, Bank Islam Malaysia Bhd, mengambil alih status penyenaraiannya di Bursa Malaysia.

Mohd Muazzam, bagaimanapun, enggan memberikan butiran lanjut mengenai penstrukturan semula itu.

“Kami mempunyai pilihan bahawa kami telah bersetuju dengan cara ini tetapi ia adalah tertakluk pada kelulusan.

“Kami tidak mempunyai sebarang perjanjian khusus (penggabungan dan pengambilalihan) bahawa kami dalam perbincangan dari segi memgambil alih satu pihak atau satu pihak mengambil alih kami. Masih belum ada apa-apa pada masa ini tetapi, sudah tentu, kami tidak hampir kepada sesuatu seperti itu,” tambahnya.

Keuntungan bersih kumpulan itu meningkat 23.5 peratus kepada RM397.7 juta pada separuh pertama 2019 yang berakhir pada 30 Jun, manakala hasil untuk tempoh itu melonjak 17.5 peratus kepada RM2.34 bilion tahun ke tahun.

Prestasi yang kukuh diterjemahkan dalam pulangan ekuiti selepas cukai secara tahunan sebanyak 15.9 peratus, antara yang tertinggi dalam industri.

Pendapatan sesaham juga meningkat kepada 22.69 sen daripada 19.10 sen dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Deposit pelanggan dan akaun pelaburan Bank Islam adalah sebanyak RM54.7 bilion, peningkatan 10 peratus tahun ke tahun.

Akaun semasa dan simpanan dan akaun pelaburan tanpa kematangan, deposit kos rendah adalah sebanyak RM14. 2 bilion setakat 30 Jun, 2019.

Unjuran keuntungan bank sepanjang tahun ini kekal stabil walaupun persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Dari segi pertumbuhan keuntungn kami pada separuh pertama tahun ini, kami berjaya mengatasi separuh pertama tahun lepas.

“Menuju ke separuh kedua tahun ini, kami harap kami boleh mengekalkan momentum yang telah kami tunjukkan pada separuh pertama tahun ini,” said Mohd Muazzam. – MalaysiaGazette