KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia telah meminta Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mempercepatkan pengurusan kes pekerja-pekerja akhbar Tamil Nesan.
M. Kula Segaran mengarahkan perkara itu selepas mengadakan perjumpaan bersama empat wakil pekerja pada 27 Ogos lalu.
Kementerian dalam satu kenyataan hari ini berkata, pada ketika ini tuntutan mereka adalah pada peringkat pengurusan kes dan hasil daripada perjumpaan yang diadakan bersama wakil bekas pekerja.
Kementerian Sumber Manusia mengambil berat segala rungutan dan masalah yang dihadapi oleh pekerja- pekerja ini.
“Oleh itu, dengan adanya tindakan susulan dari JTKSM, diharapkan masalah ini dapat diatasi secepat mungkin,” kata kenyataan yang sama.
Sebelum itu, seramai 21 bekas pekerja telah memfailkan tuntutan di Mahkamah Buruh, Pejabat Tenaga Kerja Rawang Selangor.
Mereka menuntut daripada bekas majikan Gaji Ganti Notis yang bersamaan dengan sebulan gaji berjumlah keseluruhannya RM 49,667.- MalaysiaGazette