BRUSSELS – Manchester United terpaksa berpuas hati apabila diikat 1-1 oleh Anderlecht pada aksi pertama suku akhir Liga Europa di sini, yang berakhir awal pagi tadi.
Namun skuad kendalian Jose Mourinho masih lagi berada di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir dalam saingan kedua terbesar Eropah itu.
Ia dibuktikan apabila United menguasai hampir keseluruhan permainan ketika menentang kelab Belgium itu biarpun Anderlecht melancarkan serangan-serangan awal.
United berada di depan selepas Zlatan Ibrahimovic memberi peluang kepada Henrikh Mkhitaryan untuk membuka jaringan.
Penyerang Armenia itu sudah meledak gol dalam empat perlawanan terakhir Liga Europa di tempat lawan, sekali gus membantu United memburu impian kembali ke Liga Juara-Juara, sekiranya berjaya mara ke final di Stockholm pada 24 Mei dan memenanginya.
Bagaimanapun, empat minit sebelum tamat, tuan rumah menafikan kemenangan buat pelawat apabila Leander Dendoncker menanduk masuk gol penyamaan. – MalaysiaGazette