Home Nasional 1MDB: UMNO Batu Kawan dapat dana tambahan RM100,000

1MDB: UMNO Batu Kawan dapat dana tambahan RM100,000

Saksi yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Mohd Noor Ahmad hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-6 perbicaraan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) membabitkan penyelewengan sebanyak RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak hari ini mendedahkan pernah mendapat dana RM100,000 pada tahun 2013.

Saksinya, Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Mohd. Noor Ahmad memberitahu mahkamah, akibat kekurangan dana, pihaknya telah membuat rayuan secara terus kepada Najib yang menjadi perdana menteri dan Presiden UMNO ketika itu.

Menurutnya,, UMNO menyalurkan dana sebanyak RM10,000 setiap bulan namun jumlah itu tidak mencukupi sehingga beliau sendiri pergi berjumpa dengan Najib pada 7 Ogos 2013.

“Saya berjumpa dengan beliau di Pejabat Perdana Menteri sebelum bercerita tentang keadaan kami, Najib kemudian menulis cek sebanyak RM100,00 atas  nama UMNO Bahagian Batu Kawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama  oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam juga memberitahu, cek itu diterima sendiri olehnya ketika bertemu Najib pada 7 Ogos 2013.

Mohd. Noor ketika itu memegang jawatan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan menjelaskan Najib sendiri menandatangani cek itu sebelum diserahkan kepadanya.

Ketika soal balas oleh ketua pasukan bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula, saksi mengakui adalah satu kebiasaan dan keperluan untuk seorang yang berjawatan presiden parti untuk menambah dana yang kurang seandainya diperlukan.

“Kami gunakan wang dana itu tujuan aktiviti parti dan juga rakyat di sekitar kawasan itu dan selalunya jumlah yang diberikan oleh ibu pejabat setiap bulan itu tidak mencukupi untuk kita jalankan inisiatif serta program kita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Noor juga memberitahu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Seaquerah pada masa ini akaun milik UMNO bahagian itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan sehingga kini dan tiada sebarang tindakan susulan diambil sejak tahun lalu. –MalaysiaGazette