Home Politik Panggil PH kerajaan sepenggal, ahli Bersatu bakal berdepan tindakan

Panggil PH kerajaan sepenggal, ahli Bersatu bakal berdepan tindakan

Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto HAZROL ZAINAL, 29 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Tindakan displin akan dikenakan terhadap kepimpinan dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan sepenggal.

Malah mana-mana pemimpin dan ahli yang didakwa membuat pengumuman yang merosakkan imej parti juga bakal dikenakan tindakan, kata Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita bincang panjang lebar beberapa perkara, antaranya perlunya ada disiplin khususnya dalam ahli Majlis Presiden dan Majlis Tertinggi, terutamanya mereka yang ada pegang jawatan , perlu berhati-hati buat pengumuman.

“Kalau mereka buat pengumuman yang merosakkan imej parti, maka tindakan akan diambil terhadap mereka,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), hari ini.

Perkara itu diputuskan selepas Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir.

Ditanya samada kenyataan itu merujuk kepada Ketua Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Dr. Rais Hussin, Dr. Mahathir hanya berkata ‘Ya mungkin’.

Semalam Rais, dalam forum “Pilihan raya-pilihan raya Kecil Pasca PRU-14: Implikasi pada PRU-15” anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, sudah tiba masanya untuk PH memenuhi keperluan rakyat sekiranya tidak mahu menjadi kerajaan sepenggal.

Beliau yang juga Ketua Strategis Bersatu turut menasihatkan kerajaan supaya tidak memperjuangkan pembaharuan yang tidak diinginkan rakyat seperti projek kereta terbang, kereta nasional dan Gojek.

Merujuk kepada jawatan itu, Dr Mahathir berkata Bersatu tidak ada jawatan Ketua Strategis sebagaimana yang dipegang Rais.

“Kita (Bersatu) juga tidak ada pakar strategik, itu bukan lantikan rasmi Bersatu. Ia gelaran yang diberikannya kepada diri sendiri. Saya tidak tahu siapa lantik siapa.

“Orang itu mengakui sebagai Ketua Strategik, Bersatu tidak ada lantikan untuk jawatan tersebut,” jelas Dr Mahathir lagi. -MalaysiaGazette