KUALA LUMPUR – Walaupun gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Rabu lalu dilaporkan semakin pulih, namun operasinya masih ‘tidak licin’ sepenuhnya.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau bersetuju teguran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan gangguan itu tidak seharusnya berlaku kerana sistem sama turut digunakan di lapangan terbang lain.
Sebagai salah satu infrastruktur kritikal negara, katanya, gangguan terhadap sistem di KLIA akan memberi kesan besar kepada keyakinan pelabur dan pelancong asing.
“Kalau kemudahan infrastruktur kritikal negara seperti KLIA pun sudah sebegini rupa, bagaimana pula dengan persepsi terhadap infrastruktur negara yang lain seperti tenaga elektrik dan air.
“Infrastruktur kritikal negara seperti KLIA ini sepatutnya memiliki sistem sokongan cekap jika sistem rangkaian utama terganggu.
“Proses peralihan kepada sistem sokongan sepatutnya berlaku dalam beberapa saat tanpa disedari pengguna jika sistem rangkaian utama tiba-tiba tidak berfungsi kerana kerosakan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau mempersoalkan, kenapa proses peralihan sistem sokongan itu seolah tidak berlaku sehingga menyebabkan gangguan terhadap sistem utama KLIA selama beberapa hari.
Sewajarnya, menurut Ahmad Amzad, gangguan sistem utama KLIA tidak memerlukan peralihan kepada sistem manual jika berlaku gangguan terhadap sistem rangkaian utama.
Namun, sebaliknya berlaku sehingga terpaksa beralih kepada sistem sokongan manual untuk menangani gangguan terhadap sistem rangkaian utama KLIA.
Beliau turut menjelaskan, terdapat beberapa soalan perlu dijawab oleh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dalam hal itu.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh warga KLIA dan MAHB susulan gangguan sistem kerana mampu memberikan sepenuh komitmen untuk memastikan perkhidmatan beroperasi dengan baik dan selesa demi kebaikan pengguna tempatan dan asing.
“Namun, adakah “Business Continuity Plan” (BCP) wujud di KLIA atau infrastruktur kritikal negara yang lain?
“Adakah sistem rangkaian utama di KLIA tidak ada sistem sokongan yang akan mengambil alih operasi rangkaian utama dalam beberapa saat jika sistem rangkaian utama terganggu?” soal beliau – MalaysiaGazette