KUALA LUMPUR – Tindakan menghantar rakyat Turki sekeluarga pulang ke negara asal tidak wajar dipertikai dan dibandingkan dengan isu pendakwah Dr zakir Naik.
Kata Perdana Menteri, sudah tentu polis membuat keputusan berdasarkan asas dan bukti yang sepatutnya.
“Tindakan itu dibuat oleh polis. Mereka bertindak demikian berdasarkan bukti menyebabkan mereka berpendapat mereka ini tidak harus ada dalam negara.
“Tengok, nak bandingkan dengan Dr Zakir Naik supaya ada kontroversi. Kita layan kes mengikut asasnya,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary.
Sama ada enam sekeluarga itu akan diseksa di Turki atau tidak, Tun M berkata, beliau tidak boleh menjawabnya kerana tidak memiliki maklumat mengenainya.
“Saya hanya tahu baru sebentar tadi perkara ini yang lelaki ini telah dihantar semula.
“Saya tidak tahu sama dia dia akan diseksa di Turki atau tidak. Kita tidak boleh kata begitu,” tambah beliau.
Untuk rekod, enam rakyat Turki termasuk empat kanak-kanak dihantar pulang ke negara asal mereka apabila didakwa terlibat dengan pengganas yang digerakkan menerusi sekolah yang diajar oleh lelaki yang merupakan ketua keluarga itu.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berseloroh bertanya kepada media untuk memberi pandangan mahu menghantar Zakir ke mana seperti yang dikehendaki setengah pihak sebelum ini.
“Berrkenaan Zakir Naik ini, nak hantar mana? Kalau anda boleh cari tempat untuk dia dihantar tolong bagitahu saya,” katanya.-MalaysiaGazette