Home Politik Pas sedia bersama UMNO ‘rampas’ Perak

Pas sedia bersama UMNO ‘rampas’ Perak

Datuk Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hassan berucap pada Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 di Dewan Besar Pasar Rabu, Sungai Manik, Perak. foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2019.

PASIR SALAK – Pas tidak menolak kemungkinan isu rampasan kuasa kerajaan Perak tahun 2008 boleh berulang sekiranya pemuafakatan antara parti Islam itu dengan UMNO dapat diuruskan dengan baik.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan, meskipun pada masa ini Pas hanya mempunyai tiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, peralihan kuasa itu boleh dilakukan dengan kerjasama UMNO.

“Sebagai Setiausaha Agung Pas, saya ingin menegaskan, walaupun Pas hanya ada tiga kerusi di dalam DUN Perak, kalau disusun dengan sebaiknya, Insya-Allah kami akan bersama dengan UMNO untuk mengambil alih kerajaan Perak daripada Pakatan Harapan (PH).

“Ini adalah komitmen penuh kami kerana kita tidak ada apa-apa pilihan lagi melainkan kita perlu membuat satu perubahan yang mendadak, yang tak perlu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi,” katanya berucap pada Himpunan Melayu Bangkit & Penyatuan Ummah 2.0 di Dataran Dewan Besar Pekan Rabu, Sungai Manik, di sini, malam ini.

Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0
Sebahagian orang ramai yang hadir pada Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 di Dewan Besar Pasar Rabu, Sungai Manik, Perak. foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2019.

Sementara itu, Takiyuddin juga menegaskan, parti Islam itu akan menggerakkan semua ahlinya ‘memutihkan’ bandaraya Kuala Lumpur walaupun terpaksa ‘merangkak’ bagi menghadiri peristiwa bersejarah percantuman di antara Pas dengan UMNO.

“Tak sampai dua minggu lagi, kita akan merakamkan satu lagi sejarah umat Melayu dan umat Islam dalam negara kita ini, kita akan menandatangani satu piagam percantuman di antara dua parti politik Melayu yang terbesar.

“Saya dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa merancang untuk membanjiri bandaraya Kuala Lumpur pada 13 dan 14 September 2019, kita putihkan bandaraya demi penyatuan ummah Melayu dan Islam ini Insya-Allah.

“Kalau yang boleh naik kapal terbang atau ETS atau bas, atau kereta atau motosikal. Kalau tidak ada, Insya-Allah (kalau) perlu merangkak kita akan menghadiri peristiwa amat bersejarah ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette